PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan sekumpulan individu yang berarak dari Tugu Negara ke Parlimen dekat sini, semalam untuk menyerahkan memorandum.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, semasa penugasan kawalan keselamatan memorandum di Tugu Negara pada 9 pagi, pihaknya mendapati seramai 20 individu mahu berarak ke Parlimen.
“Pegawai polis bertugas menasihati kumpulan tersebut supaya tidak berarak kerana penyerahan memorandum itu sudah diselaraskan oleh pihak Parlimen untuk diadakan di Tugu Negara antara pihak penyerah dan penerima.
“Bagaimanapun, pihak penyerah tidak mengendahkan arahan daripada polis dan meneruskan perjalanan ke Parlimen,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, menurutnya, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan berhubung insiden berkenaan.
“Polis juga sudah mengenal pasti individu terbabit yang akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Kemudian kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang. – UTUSAN