GEORGE TOWN: Kesemua pegawai dan anggota polis Pulau Pinang diingatkan tidak mengunjungi pusat hiburan bagi tujuan berhibur bagi mengelakkan persepsi negatif masyarakat terhadap polis.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, ini kerana sebelum ini terdapat laporan berita yang memaparkan kejadian yang berlaku di kontinjen lain yang mana terdapat pegawai kanan polis (PKP) dan pegawai rendah polis (PRP) masih mengunjungi pusat hiburan untuk berfoya-foya, melanggan GRO, meminum minuman keras dan mengambil dadah.
”Tindakan ini telah menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap polis, mencemar nama baik, integriti PDRM dan bertentangan dengan dasar pasukan untuk mewujudkan satu organisasi yang kompeten dan berintegriti serta bebas rasuah.
“Saya ingin ingatkan supaya perkara ini tidak berlaku di Kontinjen Pulau Pinang. Pegawai polis hanya dibenarkan mengunjungi pusat hiburan untuk menjalankan tugas selain telah mendapat kebenaran daripada ketua jabatannya,” katanya.
Beliau berucap dalam Perhimpunan Bulanan Kontinjen Pulau Pinang di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurutnya, semua ketua jabatan, Ketua Polis Daerah dan Ketua Balai dikehendaki memantau dan memastikan semua PKP dan PRP tidak terlibat dalam aktiviti tersebut.
Dalam pada itu, Kok Chin berkata, beliau mengingatkan PKP dan PRP supaya tidak terlibat dengan salah guna kuasa semasa melakukan tugas operasi seperti memeras ugut atau ‘paw’ orang yang telah diperiksa untuk mengelakkan pesalah ditangkap oleh pihak polis.
“Dengan melihat trend salah laku oleh PKP dan PRP, saya berpendapat ketegasan dalam penyeliaan menerusi pemantauan rapat amat mustahak untuk mengecilkan ruang dan peluang berlakunya pelanggaran salah laku,” katanya.
Tambahnya, Ketua Jabatan, Pegawai Pemerintah atau Penyelia hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas penyeliaan dan pemantauan terhadap semua pegawai polis di bawah jagaan masing-masing tanpa sebarang ‘cover-up’, kronisme, pilih kasih, nepotisme dan sebagainya.
“Semua pegawai polis adalah bertanggungjawab, perlu mengambil tahu tingkah laku pegawai bawahan sekiranya terkesan sebarang pelanggaran salah laku, displin, etika atau sebagainya.
”Ia untuk memastikan keutuhan dan integriti pegawai polis dapat ditingkatkan di samping memelihara dan menjaga imej pasukan supaya kekal terpelihara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, semua pegawai dan anggota juga diingatkan tidak terlibat dalam aktiviti atau program berunsur politik.
“Larangan ini termasuk memberikan pandangan yang berat sebelah di atas sebarang isu antara parti politik,” katanya. – UTUSAN