SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand (RTP) bercadang menubuhkan satu jawatankuasa bersama bagi menangani jenayah siber rentas sempadan antara dua negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, objektif penubuhan jawatankuasa itu bertujuan memudahkan kedua-dua pihak berkongsi maklumat mengenai jenayah berkenaan.
Jelas beliau, ia contohnya melibatkan sindiket penipuan dalam talian yang berpangkalan di Malaysia namun menipu mangsa di Thailand dan keadaan itu berlaku di dua negara.
“Namun, had kuasa pasukan polis kedua-dua negara berdepan masalah dan kesulitan bagi membanteras sindiket berkenaan.
“Justeru kita bersetuju mempertimbang cadangan bagi penubuhan jawatankuasa membanteras jenayah siber tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Jawatankuasa Kerja Antara Malaysia dan Thailand mengenai Aktiviti Jenayah ke-26 di sini hari ini.
Turut hadir, Leftenan Jeneral RTP, Penolong Komisioner Jeneral Sarawut Karnpanich yang juga ketua delegasi Thailand itu.
Mesyuarat khas itu turut memfokuskan perbincangan pelbagai isu jenayah rentas sempadan seperti aktiviti keganasan, penyeludupan dadah dan manusia selain jenayah laut serta lanun.
Tambah Mohd. Shuhaily, beliau akan membawa cadangan itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kelak.
“Perkara berkenaan akan dibawa untuk perbincangan lebih menyeluruh di peringkat tertinggi PDRM.
“Jenayah siber di bawah bidang kuasa Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan kita berharap jawatankuasa itu demi kebaikan bersama,” katanya.
Sementara itu Sarawut berkata, pemerhatian pihaknya mendapati jenayah siber mencatatkan peningkatan ketara di Thailand.
“Kami memahami jenayah itu kini bukan saja berlaku di negara kami malah melibatkan banyak negara seluruh dunia.
“Kami sedang berusaha melakukan yang terbaik bagi mendepani isu itu terutama berkaitan kemudahan teknologi dan mencari penyelesaian terbaik menerusi kerjasama ini,” katanya. – UTUSAN