Polis belum terima notis penganjuran Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia

Polis belum terima notis penganjuran Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima sebarang notis pemakluman penganjuran Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia di depan pusat beli-belah Sogo pada Hari Malaysia, Sabtu ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya setakat tengah hari ini tidak menerima notis tersebut daripada penganjur.

“Sepatutnya di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, mereka (penganjur) seharusnya menghantar notis pemakluman kepada polis kira-kira lima hari sebelum tarikh penganjuran.

“Kemudian kita (polis) akan meneliti notis dan kebenaran diberi seperti diperuntukkan oleh undang-undang tersebut.  Bagaimanapun setakat ini kita belum menerima sebarang notis daripada penganjur,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Allaudeen turut menasihatkan orang ramai agar tidak berhimpun secara haram dan menghormati undang-undang. 

“Jangan menyertai perhimpunan yang tidak mematuhi peraturan kerana tindakan boleh diambil. Pada masa sama, polis akan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Pemuda Perikatan Nasional (PN) bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bakal mengadakan Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia di hadapan Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman dekat sini, pada 16 September.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berkata, kempen dijadual bermula pukul 2 petang itu bertujuan membuka mata rakyat berkenaan isu semasa termasuk kes pelepasan pertuduhan 47 kes rasuah dan pengubahan wang haram Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita akan himpunkan segenap anak muda yang sayangkan negara dengan memakai baju putih sebagai lambang cintakan negara dan membawa bendera Malaysia.

“Ini adalah langkah pertama sebelum diadakan tindakan ke Dewan Rakyat membabitkan usul tergempar bagi permohonan membahaskan pelepasan kes Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya