PETALING JAYA: Keterangan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How yang didakwa membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran susulan video tular akan diambil polis dalam masa terdekat.
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, proses berkenaan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) sebaik sahaja Howard Lee pulang dari luar negara.
“Ya, kita (polis) akan atur sebaik sahaja dia pulang ke tanah air,” katanya secara ringkas.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan kepada Utusan Malaysia, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung perkara itu.
Khamis minggu lalu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak membuat laporan polis bagi mendesak siasatan terhadap Howard Lee kerana didakwa menghina Islam.
Presidennya, Amiruddin Mohd. Daud dipetik sebagai berkata, laporan polis tersebut dibuat bagi meminta siasatan dan tindakan dikenakan terhadap Howard Lee.
Katanya, tafsiran ayat- ayat suci al-Quran hendaklah disentuh atau ditafsir oleh mereka yang pakar dalam bidang tersebut tetapi orang bukan Islam bertindak menafsirkan ayat di dalam alQuran sekali gus menyentuh perkara 3R (agama, raja, kaum). – UTUSAN