KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan menggerakkan himpunan aman pada 16 September depan di hadapan kompleks beli-belah Sogo bagi memulakan kempen Selamatkan Malaysia susulan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perhimpunan tersebut adalah sebagai permulaan sebelum menggerakkan satu kempen jelajah Selamatkan Malaysia ke seluruh negara.
Beliau berkata, terdapat dua isu akan difokuskan oleh pihaknya iaitu pelepasan tanpa bebas terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk dengan 47 kes rasuah dan pengubahan wang harap serta isu badan kehakiman dan sistem perundangan negara yang disifatkan sebagai kian meruncing.
“Isu ini membuka mata terhadap kegusaran rakyat berkenaan sistem keadilan negara dan ia dibahaskan secara terperinci oleh pihak berkepentingan seperti Bersih, Majlis Peguam bahkan parti dalam kerajaan hari ini minta penjelasan daripada Peguam Negara.
“Bagi kita, ia adalah suatu pencabulan terhadap sistem perundangan negara dan lebih memalukan, parti yang bercakap mengenai kedaulatan undang-undang dan menolak korupsi ialah DAP tetapi DAP mensucikan amalan seperti ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir dalam sidang akhbar itu adalah Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin; ADUN Gombak Setia, Hilman Idham; Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amim Hamid dan ADUN Manjoi, Hafez Sabri.
Sidang akhbar tersebut turut disertai Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard dan beberapa pimpinan NGO.
Beliau berkata, himpunan pada jam 2 petang itu akan menghimpunkan anak-anak muda di seluruh negara sambil mengenakan baju putih dengan membawa bendera Malaysia.
Katanya, pihaknya menjemput segenap lapisan masyarakat merentasi parti politik untuk menyertai himpunan tersebut tidak terkecuali parti politik dalam kerajaan seperti DAP, UMNO dan PKR.
“Saya yakin, jika tiada halangan daripada pihak berkuasa, kita boleh himpun seramai yang mungkin, tapi, bagi kita, jumlah yang hadir adalah nombor dua, yang penting adalah kesedaran rakyat untuk bergerak dan selamatkan Malaysia.
“Kita akan bincang dengan pihak berkuasa dan akan membuat mengikut (peruntukan) undang-undang, tapi, saya yakin kerajaan reformasi tiada alasan nak tolak, mereka pun lahir dari jalan raya, takkan mereka nak tolak, kecuali sudah berubah,” katanya.
Ketika ditanya berhubung penjelasan Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung keputusan DNAA terhadap Ahmad Zahid, Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, penjelasan AGC menimbulkan lebih banyak persoalan berhubung tindakan tersebut.
“Kes tersebut sudah sampai ke tahap prima facie. Kalau betul Datuk Seri (Ahmad) Zahid tidak bersalah, beliau boleh lawan di mahkamah dan kemukakan alasan dengan mudah dalam perbicaraan pembelaan diri.
“Bagi kami, melihat penjelasan AGC menimbulkan persoalan dan menimbulkan perbahasan di kalangan pengamal undang-undang. Bagaimana ia dilakukan dalam tempoh peguam negara sedia ada sedang bercuti dan peguam negara baharu belum masuk pejabat lagi,” katanya. -UTUSAN