PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengetengahkan isu-isu berkaitan perubahan iklim dalam Kenyataan Malaysia pada Sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 78) di New York, Amerika Syarikat.
Ini termasuk menyatakan usaha-usaha Malaysia bagi mencapai Agenda 2030 selain mengetengahkan pendirian Malaysia terhadap cabaran dan konflik global seperti situasi di Palestin dan Myanmar.
Terdahulu, Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, penglibatan Anwar ke Perhimpunan Agung PBB yang bermula hari ini hingga Ahad adalah kali pertama setelah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
“Perdana Menteri dijadual menyampaikan Kenyataan Negara itu semasa sesi Debat Umum bertemakan ‘Rebuilding trust and reigniting global solidarity: Accelerating action on the 2030 Agenda and its Sustainable Development Goals (SDG) towards peace, prosperity, progress and sustainability for all’.
“Tema ini memberi tumpuan dalam meningkatkan semula momentum dan mempercepatkan tindakan ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan,” katanya hari ini.
Menurut Wisma Putra, tema tersebut memberi penekanan kepada negara-negara anggota untuk mengambil tindakan bersepadu bagi mencapai keamanan dan keselamatan; memberi insentif terhadap kepimpinan berani dan tegas dalam memerangi perubahan iklim.
Ini termasuk meningkatkan usaha-usaha untuk memastikan hak asasi manusia dipenuhi semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sewaktu di New York, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan satu Mesyuarat Meja Bulat dengan syarikat-syarikat Fortune 500; sesi bersama Invest Malaysia New York; forum bersama ahli-ahli Council on Foreign Relations (CFR); dan juga temubual dengan media antarabangsa seperti Bloomberg dan CNN.
Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat di sela-sela UNGA 78 untuk membincangkan isu berkepentingan bersama.
“Pertemuan tersebut akan mengeratkan hubungan dua hala yang sedia terjalin dengan negara-negara berkenaan, serta mengukuhkan persefahaman dalam isu serantau dan antarabangsa.
“Perdana Menteri juga akan menghoskan satu majlis makan malam bagi menyantuni rakyat Malaysia di New York,” katanya.
Pada masa sama, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir pula dijangka menghadiri beberapa mesyuarat dan acara yang melibatkan pelbagai kumpulan antarabangsa dan serantau berkenaan isu-isu berkaitan di sela-sela UNGA 78.
Beliau dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat bagi membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Menteri-menteri Kabinet yang lain juga dijadual terlibat dalam pelbagai program yang berasingan sepanjang UNGA 78.
Kata Wisma Putra, penglibatan aktif Malaysia sewaktu sesi ke-78 Perhimpunan Agung PBB menggariskan komitmen Malaysia dalam mengetengahkan isu-isu yang penting kepada negara di platform pelbagai hala (multilateral) terutamanya di PBB. – UTUSAN