PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) selesai menyelenggara tumpahan cecair di KM1.2 di Lebuhraya Elite semalam serta menurap semula jalan kawasan terlibat.
Susulan itu, laluan susur Persimpangan Shah Alam dari Subang di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke arah Seafield / Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Lebuhraya Elite (Arah Selatan) dibuka semula kira-kira pukul 8:30 pagi ini.
PLUS dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja-kerja menurap semula jalan di laluan tersebut terpaksa dilakukan bagi memastikan keselamatan pengguna ekoran kesan tumpahan cecair tersebut berpotensi menyebabkan laluan menjadi licin dan membahayakan keselamatan pengguna lebuh raya.
“Sehubungan itu, PLUS mengucapkan terima kasih atas sokongan, kerjasama dan kesabaran semua pengguna lebuh raya semasa tempoh kerja-kerja pembersihan dan turapan semula laluan dijalankan,” katanya.
Pada masa sama, PLUS menasihatkan semua operator dan pemandu kenderaan berat perdagangan untuk memastikan muatan yang dibawa stabil dan sentiasa berada dalam keadaan yang baik.
“Untuk mendapatkan maklumat trafik terkini, pengguna lebuh raya boleh mengikuti twitter @plustrafik dan menggunakan aplikasi perjalanan Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan,” katanya. – UTUSAN