GEORGE TOWN: Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA), Universiti Sains Malaysia (USM) memperluas program latihan khusus bagi membantu peserta dalam merangka pelan trasformasi menggunakan kaedah Transformasi Organisasi melalui Tadbir Urus Bersepadu (TUBE).
Pengarah dan Pengasas PIPPA, Datuk Dr. Musa Ali berkata, program latihan yang dijalankan turut berperanan memberi pemahaman kepada organisasi mengenai keperluan dan kepentingan proses transformasi serta mengenal pasti elemen penting dalam melaksanakannya.
”Untuk kekal relevan dan berdaya saing, setiap organisasi tidak dapat mengelak daripada melakukan transformasi.
”Program latihan yang ditawarkan PIPPA ini dirangka khusus bagi membantu para peserta untuk lebih memahami strategi organisasi, sekali gus menjayakan matlamat membangunkan pelan transformasi,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kandungan program latihan merangkumi beberapa fokus utama termasuk kerangka khusus pendekatan teknik TUBE, organisasi dan tuntutan perubahan serta model perubahan, elemen ‘high-tech’ dan ‘high-touch’ dari dimensi TUBE dan banyak lagi.
”Mereka yang mengikut program ini kemudian dapat mengaplikasikan teknik dalam merangka pelan tindakan peringkat organisasi dan individu,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, PIPPA baru sahaja selesai mengendalikan dua program latihan TUBE pada minggu pertama bulan ini.
”Kumpulan pertama untuk 34 peserta dari 16 agensi dan yang kedua, program Selangor Leadership Catalyst (SELECT) yang melibatkan 38 peserta.
”Kedua-dua program latihan berkenaan dijalankan dengan kerjasama Pejabat Wali kota Bandung, Indonesia yang mana peserta turut di bawa melawat Bandung Command Centre dan mendengar taklimat tentang proses transfromasi Bandung sebagai bandar pintar (smart city),” katanya.
Dalam pada itu, katanya, proses transformasi bandar pintar itu menarik untuk dipelajari dan boleh diaplikasikan serta dikembangkan di negara ini.
”Aspek integrasi data adalah salah satu cabang yang boleh dijadikan penanda aras untuk dipelajari dan dipraktikkan.
“PIPPA berterima kasih dengan sokongan dan komitmen yang telah dizahirkan oleh rakan strategik di Bandung ini, terutamanya dari Sekretaris Dinas Komunikasi dan Informatika (Diskominfo) Kota Bandung iaitu Yayan Brilyana dan Bapak Darto AP,” katanya. – UTUSAN