Pimpinan PBS nafi Maximus akan letak jawatan Presiden

Pimpinan PBS nafi Maximus akan letak jawatan Presiden

JOACHIM Gunsalam (tengah) bersama AMT PBS yang lain semasa sidang akhbar sempena Kongres PBS ke-38, di Kota Kinabalu hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menafikan khabar angin Datuk Seri Dr Maximus Ongkili akan meletak jawatan sebagai Presiden parti.

Walaupun tahap kesihatan Maximus menjadi kebimbangan ramai namun, secara fizikalnya, Presiden PBS itu masih lagi dalam keadaan yang baik dan sentiasa berhubung dengan pemimpin parti yang lain bagi memastikan perjuangan parti diteruskan.

Beliau berkata, kepimpinan parti sentiasa berhubung dengan Maximus bagi mendapatkan nasihat dan pandangannya dalam menguruskan parti jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan. Biarpun ada pelbagai persepsi, Maximus masih lagi terlibat dalam pengurusan parti.

Ketika ini, pasukan khas yang ditubuhkan sejak Jun lalu dan dianggotai oleh enam Ahli Majlis Tertinggi (AMT) diamanahkan mengalas tanggungjawab menguruskan parti di bawah arahan presiden.

Pasukan khas itu dianggotai oleh tiga Timbalan Presiden PBS iaitu beliau sendiri, Datuk Jahid Jahim dan Datuk Seri Yee Moh Chai serta tiga AMT lain iaitu Setiausaha Agung, Datuk Julita Majungki; Bendahari Agung, Datuk Lu Kim Yen dan Ketua Penerangan, Datuk Joniston Bangkuai.

Joachim turut memberi jaminan bahawa Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan tidak akan kembali memegang jawatan presiden.

“Tan Sri (Pairin) tidak akan kembali (jadi Presiden) kerana Presiden telah melantik pasukan khas bagi menguruskan parti semasa ketiadaannya dan Presiden 110 peratus berada di belakang kami.

“ Oleh itu, pada dasarnya beliau (Maximus) yang menguruskan parti kerana kami bergerak di bawah arahannya,” katanya dalam sidang akhbar sempena Kongres Perwakilan PBS kali ke-38, di sini hari ini.

Menurut beliau, sempena kongres perwakilan itu nanti, Pairin akan hadir bagi merasmikan kongres berkenaan yang akan turut dihadiri oleh Maximus. Namun, ucapan dasar presiden akan dibacakan olehnya.

Mengenai idea gabungan PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Joachim berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama perwakilan pada kongres kali ini dan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi membincangkan idea berkenaan.

Sementara itu, Julita memaklumkan seramai 800 orang perwakilan daripada 64 bahagian akan menghadiri kongres perwakilan yang akan diadakan di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA pada 23 September ini.

Antara perkara yang akan dibincangkan adalah mengenai usaha memperkukuhkan kerjasama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa usul termasuk usul memasukkan Majlis Penasihat Perdana dalam perlembagaan parti dan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) daripada Perlembagaan PBS. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya