KUALA NERUS: Satu gol di setiap penghujung babak membantu Terengganu FC (TFC) menewaskan Selangor 2-0 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan TFC sedikit nafas lega untuk pertemuan timbal balik, 24 September nanti selepas aksi dramatik di hujung permainan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak itu.
TFC hanya memerlukan lima minit untuk menguji Samuel Somerville di gawang lawan yang dipaksa bekerja keras menyelamatkan situasi satu lawan satu berdepan Ivan Mamut.
Skuad Penyu terus garang apabila bola umpanan Engku Nur Shakir Engku Yacob singgah di kaki Mamut namun rembatannya minit ke-23 dihalang Safuwan Baharudin untuk sepakan sudut.
TFC bagaimanapun cemas seminit kemudian selepas Selangor mula mengatur gerak dari bahagian tengah mujur percubaan kencang Ayron Rodriguez ditepis penjaga gol, Mohd. Suhaimi Husin.
Aksi makin rancak setelah serangan balas Sang Penyu yang dimulakan Habib Haroon (m-28) hampir memerangkap The Red Giant namun sepakan Nurillo Tukhtasinov melencong ke sebelah tepi.
Peluang terbaik tuan rumah menjelma lagi minit ke-34 melalui Engku Nur Shakir malangnya Somerville tangkas menafikan kuisan pemain itu untuk menyelamatkan pintu golnya.
Lima minit kemudian Selangor melancarkan gerakan menerusi Richmond Boakye tetapi percubaannya diselamatkan sebelum Faisal Abdul Halim sedikit terlewat membuat tindakan susulan.
Kem TFC akhirnya lega selepas Mamut menyudahkan sepakan penalti dalam masa tambahan separuh masa pertama gara-gara kekasaran bek kanan Selangor, Quentin Cheng ke atas Nurillo.
Mendahului 1-0, TFC begitupun kehilangan rentak pada babak kedua dan membenarkan pelawat menguasai permainan menerusi tandukan Richmond (m-58) yang ditepis Mohd. Suhaimi.
Ketika Selangor nyaris mengikat kedudukan selepas sepakan Ayron (m-82) menggegar palang disusuli tolakan jarak dekat Brendan Gan (m-89), TFC memperoleh gol keduanya malam ini.
Pemain gantian, Muhamad Syahmi Zamri bijak melepasi kawalan pertahanan Selangor dan menanduk hantaran Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim dalam masa kecederaan untuk kemenangan 2-0 buat TFC. – UTUSAN