GEORGE TOWN: Jaringan kemenangan pada masa kecederaan oleh ayam tambatan Penang FC, Sonny Saad berjaya menyelamatkan maruah Penang FC daripada dimalukan kelab Liga M3, Harini FT dalam aksi pertama saingan suku akhir Piala Cabaran 2023 di Stadium Bandaraya, di sini malam ini.
Terdahulu, kelab amatur yang dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, P. Maniam itu hampir mencipta kejutan selepas memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-83 menerusi pemain gantian, Fitri Shah.
Bagaimanapun, tuan rumah hanya memerlukan masa seminit untuk menyamakan kedudukan hasil sentuhan pemain tengah, Hadin Azman.
Ketika aksi dilihat hampir berkesudahan dengan keputusan seri, Sonny muncul wira Penang FC apabila memanfaatkan ruang terbuka dalam kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Kedua-dua pasukan khususnya pada aksi separuh masa pertama sebelum itu bermain dengan berhati-hati disebabkan oleh keadaan padang licin dan basah akibat hujan sebelum perlawanan.
Meskipun bertaraf amatur, Harini FT dilihat beraksi baik dan berjaya mengimbangi aksi separuh masa pertama permainan dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang tuan rumah yang dikawal oleh Azfar Arif Mohd. Sukri.
Skuad Harimau Kumbang yang sesekali melakukan asakan juga dilihat mampu memecah kebuntuan jaringan, namun sentuhan penyudah yang tumpul menyelamatkan kubu pelawat daripada dibolosi sepanjang babak pertama.
Dalam pada itu, aksi suku akhir kedua untuk saingan Piala Cabaran 2023 antara kedua-dua pasukan dijangka berlangsung di Paroi, Negeri Sembilan, 5 Oktober depan. – UTUSAN