KUCHING: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM30 juta khusus kepada Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) sebagai usaha membangunkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dana yang disalurkan menunjukkan kolaborasi jangka panjang antara Majlis TVET Kebangsaan dengan CENTEXS untuk menyediakan tenaga kerja terutama dalam bidang berteknologi tinggi.
“Dana ini nanti akan bertindak menampung sebahagian daripada kos pembiayaan para peserta bagi mengikuti pelbagai kursus dalam bidang yang disasarkan.
“Selain, sebagai kos pembiayaan bagi pembangunan makmal dan kemudahan pembelajaran bagi bidang-bidang baharu,” katanya kepada media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Lawatan Kerja Rasmi ke CENTEXS di Santubong, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan ia selari dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa tujuan negara ke arah industri berteknologi tinggi.
Justeru itu beliau mencadangkan agar bidang robotik ditawarkan, selain kursus baharu berkaitan ditampilkan sekali gus mencungkil peluang dan potensi baharu dalam kalangan pelajar.
“Kita mahu melihat segala usaha dilakukan Kerajaan Sarawak melalui CENTEXS mampu meletakkan negeri ini di garisan paling hadapan dalam penyediaan kursus-kursus latihan yang ditawarkan.
“Ia termasuk tawaran dari segi latihan berkemahiran tinggi berkait rapat dengan bidang hidrogen, kenderaan elektrik (EV), tenaga solar dan sebagainya,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut mendedahkan satu sekretariat dibawah Majlis TVET Kebangsaan telah diwujudkan bagi melaksanakan tapisan pengambilan pelajar dalam jurusan tersebut.
“Kita wujudkan satu modaliti permohonan untuk memasuki institusi termasuk CENTEXS menerusi Unit Pusat TVET (UPT) yang berfungsi sama seperti sistem permohonan kemasukan pelajar (UPU).
“Tujuannya adalah untuk mewujudkan koordinasi dan mengelakkan ketidaksepadanan penawaran kursus dalam kalangan pelajar,” tambah Ahmad Zahid.- UTUSAN