KUALA LUMPUR: Jalinan kerjasama Icon Group iaitu Icon Cancer Center bersama Sunsuria Healthcare bakal membawa rangkaian perkongsian pengetahuan antarabangsa merangkumi lebih 300 pakar onkologi dan rakan industri kanser ke Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunsuria Healthcare, Audrey Ooi berkata, kerjasama tersebut bertujuan memperluas rangkaian penjagaan kanser bermutu tinggi merentasi Malaysia dengan disokong kecemerlangan dan inovasi klinikal.
Katanya, dengan adanya penubuhan pusat kanser di seluruh Malaysia melalui kerjasama strategik dengan pengendali penjagaan kesihatan tempatan, ia dapat menyediakan akses kepada penjagaan kanser berkualiti serta meningkatkan kesejahteraan pesakit tempatan.
“Dengan memanfaatkan legasi kecemerlangan Icon Cancer Centre dalam bidang onkologi dan rangkaian kepakaran klinikal yang meluas, jalinan kerjasama ini akan memperkenalkan perkhidmatan perubatan hospital-hospital sedia ada dengan kepakaran kanser yang khusus dan membolehkan para pesakit mendapatkan penjagaan kanser komprehensif serta rawatan-rawatan termaju, ” katanya pada majlis menandatangani majlis menandatangani perjanjian kerjasama itu di sini, hari ini.
Dalam pada itu,Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Sunsuria Berhad, Tan Sri Ter Leong Yap berkata, sebagai pihak memainkan peranan proaktif dalam pembangunan negara, kerjasama itu sekali gus dapat membuka peluang pekerjaan, berkongsi pengetahuan, menarik pelaburan antarabangsa dan memupuk pembangunan masyarakat dalam negara ini.
“Pendekatan kami melibatkan jalinan kerjasama eksklusif yang menggabungkan kepakaran global seperti kerjasama kami bersama Icon, disokong oleh pengetahuan dan rangkaian tempatan.
“Pada hari ini, kami memulakan perjalanan baharu untuk memajukan visi kami dengan menggabungkan teknologi dan pemindahan pengetahuan, sama seperti pencapaian kami dalam bidang pendidikan bersama Universiti Xiamen Malaysia dari China dan Sekolah Antarabangsa Kolej Concord dari UK,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, usaha yang ditunjukkan oleh Icon Sunsuria dilihat seiring dengan melengkapkan pelan tindakan kementerian dalam menangani kanser, sepertimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Strategik Kebangsaan bagi Program Awalan Kanser 2021 hingga 2025.
“Kerjasama seperti inilah ingin kita lihat yang mana tergaris dalam kandungan Kertas Putih Kesihatan.
“Kami berharap hasil daripada kerjasama ini kita dapat melihat apakah kolaborasi lain yang boleh dibuat daripada apa yang kita pelajari ketika tempoh Pandemik Covid-19 sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan mengalu-alukan penyelesaian yang menuju masa hadapan seiring dengan matlamat strategik kami bagi menangani keperluan penyelidikan kanser negara dan mengukuhkan kebolehan dalam perubatan.
Majlis tandantangan tersebut disempurnakan Audrey Ooi serta, Ketua Pegawai Eksekutif Icon ASEAN dan Hong Kong, Serena Wee sambil disaksikan oleh Dr. Zaliha Mustafa.
Icon Group, menerusi Icon Cancer Centre sebagai komponen utama mereka menawarkan spektrum perkhidmatan berkomprehensif merangkumi onkologi perubatan, onkologi radiasi, hematologi, farmasi, dan pengkompaunan kemoterapi.
Selaku penyedia penjagaan kanser bersepadu terkemuka di Australia, kumpulan tersebut mempunyai reputasi global dengan penubuhan lebih 50 pusat kanser di Australia, New Zealand, China, Hong Kong dan Singapura.Icon Cancer Centre akan membawa kepakaran klinikal dan kepimpinan penjagaan kesihatan yang meluas sebagai pemegang saham majoriti Icon Sunsuria, bekerjasama dengan Sunsuria Healthcare selaku rakan kongsi Malaysia yang dipercayai. – UTUSAN