KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) akan mengalami perubahan tampuk kepemimpinan apabila Panglimanya, Tan Sri Mohammad Ab. Rahman dijangka dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) esok.
Menurut Mohammad, perubahan tersebut akan berlaku esok apabila Timbalan Panglima TDM, Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan akan dilantik sebagai Panglima TDM.
Beliau berkata, mengambil alih jawatan Muhammad Hafizuddeain adalah Panglima Medan Barat, Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.
Manakala, jawatan Tengku Muhammad Fauzi pula akan diambil oleh Panglima 2 Divisyen, Datuk Muhammad Huzaimi Sabri.
“Esok secara tepatnya, akan berlaku perubahan ke atas kepemimpinan TDM bermula saya akan serahkan tampuk pemerintahan TDM kepada Datuk Muhammad Hafizuddeain yang akan dinaikkan pangkat kepada Jeneral TDM ke-30 esok,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat Ke-29 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.
Mohammad yang dilantik sebagai Panglima TDM pada Mac lalu berkata, perubahan pucuk pimpinan adalah suatu lumrah dalam sesebuah organisasi justeru, ia seharusnya berlangsung dengan lancar tanpa sebarang masalah.
“Justeru, saya menyeru kepada semua untuk merapatkan barisan, berkhidmat sebagai sebuah ketumbukan dengan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada baris kepemimpinan baharu.
“Saya yakin, jika kita teguh bersatu, Tentera Darat akan terus berdiri teguh memikul amanah sebagai benteng utama pertahanan negara,” katanya.
Mohammad ditauliahkan pada 1 Julai 1987 ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dengan jawatan pertamanya adalah sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-4 RAMD, Sungai Ara, Pulau Pinang.
Beliau juga telah diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan pemerintah dan staf sepanjang perkhidmatan di dalam ATM antaranya Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan Markas Tentera Darat, Panglima Divisyen Ketiga Infantri, Panglima Latihan Tentera Darat dan Panglima Medan Barat Tentera Darat.
Kemudian Mohammad dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat Ke-25 sebelum memegang jawatan sebagai PTD Ke-29 pada 22 Mac 2023 setelah mengambil alih tampuk pemerintahan TDM daripada Tan Sri Zamrose Mohd. Zain yang bersara wajib. – UTUSAN