KANGAR: Beberapa kumpulan penggiat aktiviti eko pelancongan yang menterjemahkan kecintaan mereka terhadap negeri ini membentuk sebuah gabungan yang dinamakan Search for Research Perlis Geopark.
Gabungan berkenaan yang dianggotai Perlis Nature & Wildlife (PNW), Perlis Climber dan Hikers Perlis bertujuan khusus bagi menghimpunkan segala hasil penemuan berkaitan keunikan serta kekayaan alam semula jadi di negeri ini agar lebih dihargai oleh masyarakat.
Penyelaras projek berkenaan, Syamil Abd Rahman berkata, inisiatif menggabungkan tiga penggiat utama eko pelancongan tersebut adalah bagi mewujudkan satu sinergi lebih berkesan dalam menjalankan usaha promosi negeri Perlis.
Katanya, ia khususnya daripada perspektif alam semula jadi memandangkan ketiga-tiga badan tersebut sudah lama bertapak hampir 10 tahun.
“Masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri dalam bidang khusus yang berbeza tetapi berkongsi satu matlamat yang sama iaitu ingin melihat Perlis kekal memelihara kepelbagaian biologi dan geologi sebagai warisan.
“Rasa cinta terhadap negeri ini boleh ditafsir melalui pendekatan berbeza, tetapi bagi mereka sumbangan masyarakat di dalam menjaga kelestarian alam semula jadi anugerah Allah SWT ini juga merupakan satu bentuk kecintaan selain dituntut oleh agama.
“Negeri Perlis juga sememangnya kaya dengan warisan semula jadi sama ada daripada sudut biologi dan geologi,” katanya di sini hari ini.
Tambah Syamil, nilai warisan sejarah, arkeologi, seni dan budaya turut tidak terkecuali dalam menyumbang kepada kemampanan sebuah negeri untuk diiktiraf sebagai geopark yang akan memanfaatkan seluruh masyarakat kelak.
Katanya, penarafan ‘Aspiring Perlis Geopark’ sebagai geopark kebangsaan akan memberi satu impak positif kepada ekonomi berasaskan pelancongan kerana ia bakal menjadi daya tarikan kepada pelancong untuk berkunjung dan menghayati kekayaan khazanah warisan yang digazetkan sebagai geopark.
“Mengambil contoh bagaimana geopark terdekat seperti Langkawi dan Satun mendapat laba dari limpahan pelancongan berteraskan geopark dan tidak mustahil juga negeri Perlis bakal menerima impak yang sama memandangkan negeri ini turut berkongsi warisan geologi yang sama.
“Perlaksanaan Perlis Geopark kelak harus digembelingkan melalui satu usaha yang holistik diantara pihak tadbir urus dengan komuniti setempat untuk satu langkah libat urus lebih bersifat mengutamakan kepentingan secara saksama.
“Ia bertepatan dengan objektif perlaksanaan geopark sebagai satu langkah melestarikan warisan negeri atau wilayah supaya tidak dimusnahkan oleh pembangunan yang tidak mesra alam.
“Sebaliknya dengan geopark, pembangunan negeri akan lebih berpaksikan kepada agenda mengekalkan perlaksanaan geopark untuk secara tidak langsung mengutamakan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah warisan negeri yang bermanfaat kepada komuniti,” katanya.
Sebagai rekod, Projek Search for Research Perlis Geopark adalah bagi memberi semak dan imbang kepada pembangunan negeri dalam mengutamakan aspek pemeliharaan dan pemuliharaan warisan geologi dan biologi negeri yang terbentuk sejak ratusan juta tahun.
Sejajar dengan itu juga, satu pameran dinamakan Perlis Geopark; Unik & Langka diadakan di Rimba Herba, Bukit Ayer Sungai Batu Pahat di sini hari ini untuk warga negeri mendapatkan pengetahuan lebih mendalam dan mengagumi kehebatan Perlis sebagai geopark.-UTUSAN