Pertahan warisan geologi, biologi Perlis - Utusan Malaysia

Pertahan warisan geologi, biologi Perlis

SYAMIL Abd Rahman (dua dari kanan) bersama ahli gabungan NGO yang lain memberi penerangan berkaitan pameran Perlis Geopark kepada panel penilaian Aspiring Perlis Geopark bagi penarafan kebangsaan pada pameran Perlis Geopark ‘Unik & Langka’ di Rimba Herba, Bukit Ayer, Perlis, semalam. - UTUSAN/MOHD HAFIZ ABD MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Beberapa kumpulan penggiat aktiviti ekopelanco­ngan yang menterjemahkan kecintaan mereka terhadap negeri ini membentuk sebuah gabungan yang dinamakan Search for Research Perlis Geo­park.

Gabungan berkenaan yang dianggotai Perlis Nature & Wildlife (PNW), Perlis Clim­ber dan Hikers Perlis bertujuan khusus menghimpunkan segala hasil penemuan berkaitan keunikan serta kekayaan alam semula jadi di negeri ini agar lebih dihargai oleh masyarakat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penyelaras projek berkenaan, Syamil Abd Rahman berkata, inisiatif menggabungkan tiga penggiat utama ekopelancongan tersebut adalah bagi mewujudkan satu sinergi lebih berkesan dalam menjalankan usaha promosi negeri Perlis.

Katanya, ia khususnya daripada perspektif alam semula jadi memandangkan ketiga-tiga badan tersebut sudah bertapak hampir 10 tahun.

“Masing-masing mempu­nyai kekuatan tersendiri dalam bidang khusus yang berbeza tetapi berkongsi satu matlamat yang sama iaitu ingin­ melihat Perlis kekal memelihara kepelbagaian biologi dan geologi sebagai warisan.

“Rasa cinta terhadap ne­geri ini boleh ditafsir melalui pendekatan berbeza, tetapi bagi mereka sumbangan masyarakat di dalam menjaga kelestarian alam semula jadi anugerah Allah SWT ini juga merupakan satu bentuk kecintaan selain dituntut oleh agama.

“Negeri Perlis juga sememangnya kaya dengan warisan semula jadi sama ada biologi dan geologi,” katanya.

Tambah Syamil, nilai wa­risan sejarah, arkeologi, seni dan budaya turut tidak terkecuali dalam menyumbang kepada kemapanan sebuah negeri untuk diiktiraf sebagai geopark yang akan memanfaatkan seluruh masyarakat kelak.

Katanya, penarafan ‘Aspi­ring Perlis Geopark’ sebagai geopark kebangsaan akan memberi satu impak positif kepada ekonomi berasaskan pelancongan kerana ia bakal menjadi daya tarikan kepada pelancong untuk berkunjung dan menghayati kekayaan khazanah warisan yang digazetkan sebagai geopark.

“Mengambil contoh bagaimana geopark terdekat seperti Langkawi dan Satun mendapat laba daripada limpahan pelancongan berteraskan geopark dan tidak mustahil juga negeri Perlis bakal menerima impak yang sama memandangkan negeri ini turut berkongsi warisan geo­logi yang sama.

“Pelaksanaan Perlis Geo­park harus digembleng melalui satu usaha yang holistik di antara pihak tadbir urus dengan komuniti setempat untuk satu langkah libat urus lebih bersifat mengutamakan kepenti­ngan saksama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya