Persembahan silang budaya SK Sena- Anuban Satun School memukau - Utusan Malaysia

Persembahan silang budaya SK Sena- Anuban Satun School memukau

MURID-murid dari Anuban Satun School, Thailand menyajikan persembahan kebudayaan negara itu sempena program Perkhemahan Unit Beruniform Jaringan Antarabangsa Celik SK Sena - Anuban Satun School, Thailand di SK Sena, Kangar, Perlis malam tadi.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Persembahan kesenian silang budaya membabitkan murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sena dan Anuban Satun School, Thailand mencuri tumpuan sempena program Perkhemahan Unit Beruniform Jaringan Antarabangsa Celik SK Sena – Anuban Satun School, Thailand di sekolah berkenaan di sini, malam tadi.

Malah, ibu bapa dan para guru yang hadir turut teruja dengan persembahan daripada kanak-kanak tersebut yang cukup memukau dengan turut membabitkan penyertaan SK Seri Perlis dan Sekolah Rendah Islam 1.

Antara persembahan yang disajikan murid dari dua buah negara itu seperti tarian Perlis, dikir barat membabitkan empat bahasa dan silat, manakala murid dari Thailand pula mempersembahkan tarian menora dan rambong.

Malah di akhir persembahan, tindakan spontan salah seorang murid dari SK Sena menyanyikan lagu dalam bahasa Thailand turut menarik perhatian yang hadir pada malam persembahan budaya berkenaan.

Guru Besar SK Sena, Azrin Jaya berkata, seramai 100 murid dalam kalangan kanak-kanak tahun enam membabitkan empat sekolah tersebut terlibat dalam perkhemahan unit beruniform bermula Jumaat sehingga Ahad itu.

Katanya, lebih menarik perhatian, turut diadakan persembahan memperkenalkan budaya membabitkan dua negara tersebut.

“Aktiviti perkhemahan dan persembahan tersebut adalah bagi mewujudkan semangat perpaduan dan saling mengenali antara budaya satu sama lain membabitkan dua negara ini.

“Selain itu, ia juga bertujuan mengeratkan hubungan silatulrahim antara SK Sena dan Anuban Satun School, Thailand yang sememangnya sentiasa terjalin erat.

“Melihat kepada sambutan cukup hebat ini, kita tidak menolak kemungkinan akan menjadikan program berkenaan sebagai aktiviti tahunan. Dalam sesi perkhemahan tersebut, turut diadakan aktiviti sukaneka, memasak dan permainan tradisional,” katanya.

GURU dan murid-murid dari SK Sena,
SK Seri Perlis dan Sekolah Rendah Islam 1 termasuk dari Anuban Satun School, Thailand bergambar sempena program Perkhemahan Unit Beruniform Jaringan Antarabangsa Celik SK Sena – Anuban Satun School, Thailand di SK Sena, Kangar, Perlis malam tadi.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Hadir sama, Pengarah Anuban Satun School, Yongyut Yeunyong; Guru Besar SK Seri Perlis, Muhammad Hafiz Zainudin; Guru Besar Sekolah Rendah Islam 1, Khairuddin Abdul Manap dan bekas Guru Besar SK Sena, Azhar Darus.

Sementara itu, Yongyut Yeunyong berkata, dia cukup gembira program berkenaan berjalan lancar termasuk persembahan kebudayaan yang berlangsung cukup meriah.

“Kita akan teruskan lagi kerjasama dengan sekolah di sini membabitkan aktiviti seperti ini pada masa-masa akan datang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya