Permohonan Rosmah gugur pertuduhan RM7.1j 13 Dis. ini

Permohonan Rosmah gugur pertuduhan RM7.1j didengar 13 Dis. ini

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 13 Disember ini untuk mendengar permohonan Datin Seri Rosmah Mansor menggugurkan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan elak cukai yang dihadapinya.

Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh tersebut selepas peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan pihaknya telah memfailkan permohonan itu semalam.

Rosmah sedang dibicarakan atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 2013 dan 2018.

Perbicaraan tersebut telah bermula pada 24 Ogos lalu dan dua orang saksi telah dipanggil memberi keterangan.

Menurut ucapan pembukaan perbicaraan tersebut, Rosmah telah mendepositkan puluhan keping cek dan wang tunai berjumlah RM7,097,750 ke dalam akaun Affin Bank miliknya walaupun beliau tidak mempunyai sebarang pekerjaan ketika itu.

Cek dan wang tersebut didepositkan dengan bantuan Pengurus Kediaman Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, Roslan Sohari.

Wang lebih RM7 juta itu didakwa digunakan oleh Rosmah untuk membayar bil-bil telefon dan kad kredit miliknya dan ahli-ahli keluarganya.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Hukuman bagi kesalahan membabitkan pengubahan wang haram dan elak cukai itu ialah penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN