Perlis bakal negeri pertama diiktiraf Geopark Kebangsaan

Perlis bakal negeri pertama diiktiraf Geopark Kebangsaan

ANTARA lokasi di Geotapak Bukit Jernih yang mempunyai nilai warisan geologi dan biologi yang tinggi di Bukit Jernih, Perlis.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis bakal jadi negeri pertama diiktiraf sebagai geopark sekiranya berjaya dalam penilaian pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan Ke-11.

Sesi penilaian Perlis Geopark ke arah Geopark bertaraf kebangsaan itu bermula Isnin lalu dan berakhir semalam.

Antara lokasi yang dilawati untuk penilaian tersebut seperti geotapak Bukit Lagi, Bukit Ayer, Gua Kelam, Bukit Jernih dan Timah Tasoh, View Point Wang Kelian, Kampung Warna-Warni Seberang Ramai dan Muzium Kota Kayang.

Buat masa ini, sebanyak 23 geotapak telah dikenal pasti di Perlis dan hasil laporan penilaian itu akan juga akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan yang dijangka berlangsung pada pertengahan bulan ini atau awal November depan.

Ketua Penilai Perlis Geopark, Dr Norbert Simon berkata, kebanyakan lokasi geotapak di Perlis dikenal pasti mempunyai nilai saintifik yang sangat tinggi dan boleh menjadi simbol kebanggaan rakyat negeri ini.

Katanya, penglibatan komuniti dan badan pertubuhan kerajaan (NGO) yang bersemangat bagi bersama-sama membantu dalam mendapatkan pengiktirafan Geopark Kebangsaan ini juga dilihat sangat membanggakan.

Ujarnya, keterlibatan pihak berkenaan sememangnya amat baik bertepatan dengan konsep geopark yang memerlukan penglibatan semua peringkat lapisan masyarakat.

“Sebagai pemerhati saya amat terharu dengan semangat kuat ditunjukkan oleh komuniti, NGO, kerajaan negeri dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) sepanjang penilaian empat hari di Perlis ini.

“Ini menjadi nilai tambah selain keunikan geotapak yang terdapat di negeri ini. Sekiranya berjaya dalam penilaian ini, Perlis bakal menjadi negeri pertama keseluruhan kawasannya diiktiraf sebagai geopark.

“Perlis mempunyai potensi tinggi untuk dimajukan dan terdapat banyak lokasi geotapak bernilai tinggi yang dapat menjadi bonus buat negeri ini,” katanya di sini semalam.

Tambah beliau, berdasarkan pemerhatian, pihaknya tertarik dengan keunikan geotapak di Bukit Lagi dan Bukit Jernih yang mempunyai nilai saintifik sangat tinggi.

“Selain itu, geotapak di Bukit Ayer juga mempunyai keunikan air terjun batu kapur yang merupakan batu jenis travertine,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya