PETALING JAYA: Setiap tahun, bulan Ogos adalah bulan yang penuh bermakna bagi rakyat Malaysia. Ia bukan sahaja merupakan bulan kemerdekaan negara, tetapi juga bulan yang meningkatkan keharmonian dan kebersamaan antara masyarakat pelbagai etnik, agama dan budaya yang membentuk negara ini.
Pada tahun ini, Malaysia meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke-66 dengan semangat perpaduan yang semakin membara dalam kalbu setiap warganegara.
Bertemakan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’, ia selari dengan tekad dan komitmen kerajaan untuk membangunkan sebuah negara dengan rakyatnya yang bersatu padu, memiliki semangat perpaduan tinggi serta hidup dalam keadaan aman, harmoni dan sejahtera.
Semangat perpaduan ini juga menjadi aspirasi kepada warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Universiti watan ini tidak hanya memberi tumpuan kepada perkembangan akademik semata-mata, tetapi juga menghargai nilai-nilai sejarah dan kebudayaan negara.
Proses penubuhan universiti keramat ini adalah satu perjalanan yang tidak mudah. Ia melibatkan semangat kesedaran, kebangkitan, penghargaan terhadap Bahasa Melayu dan komitmen untuk membangunkan identiti kebangsaan.
Pada zaman penjajahan British, langkah pertama telah diambil untuk mengangkat Bahasa Melayu sebagai wadah untuk menyuarakan identiti dan perjuangan masyarakat Melayu.
Ketika kemerdekaan Malaysia diraih pada 31 Ogos 1957, semangat untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semakin membara. Pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pengajian di UKM menjadi simbolik penghormatan kepada perjuangan yang telah berlangsung selama ini.
Sebagai institusi pendidikan tinggi, UKM telah menjalankan tanggungjawabnya untuk mencapai aspirasi rakyat dan negara. Pada konvokesyen pertamanya pada tahun 1973, hanya 168 graduan telah bergraduasi.
Bagaimanapun, hari ini, UKM telah berjaya mendidik lebih daripada 222,197 graduan, yang aktif menyumbang kepada kemajuan negara dalam pelbagai sektor, sama ada dalam sektor awam atau swasta.
Kita juga dapat melihat betapa jauhnya perjalanan universiti watan ini sejak majlis Senat UKM bersidang buat pertama kalinya pada 16 Jun 1970. Baru-baru ini, satu lakaran sejarah tercipta apabila ahli senat bersidang untuk kali ke-500.
Ini adalah bukti komitmen dan usaha yang berterusan UKM menjalankan amanah pengajaran, pembelajaran, penyelidikan serta menguruskan pentadbiran universiti demi mencapai kecemerlangan berterusan.
Selain itu, perkembangan inovasi dan pembangunan di UKM adalah bukti kesungguhan universiti ini dalam menerajui bidang pendidikan dan penyelidikan. Terbaru, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, telah merasmikan majlis pecah tanah Projek Laman Ilmu@UKM yang bakal menempatkan pusat inovasi dengan kerjasama sebuah institusi terkemuka di China.
Pusat inovasi ini menjanjikan kemajuan yang besar dalam bidang clinical trial dan rawatan menggunakan sel stem.
Perjuangan kami sebagai universiti kebangsaan tidak terhenti di situ sahaja. Baru-baru ini UKM telah diberi mandat menubuhkan Kursi Tun Dr. Ismail di bawah Institut Kajian Etnik yang disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kursi ini menjadi penanda aras yang penting dalam meneliti penyelidikan mengenai perpaduan dan masyarakat.
Melalui perkongsian ilmu dan penyelidikan ini, UKM berusaha untuk menyampaikan warisan ini kepada generasi masa kini dan akan datang.
Penting untuk diingat bahawa nilai-nilai kenegaraan tidak boleh terlepas dari pendidikan tinggi. UKM telah mengambil tanggungjawab ini dengan serius, melahirkan siswazah-siswazah yang bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan tetapi juga semangat dan jati diri yang tinggi.
Lantaran itu saya menyeru kepada semua agar bersama-sama meneruskan perjuangan para pahlawan kita dengan menjadi generasi yang cemerlang, berwawasan dan berjiwa kemerdekaan.
Dengan memegang teguh nilai-nilai ini, kita akan memberi impak positif tidak hanya kepada warga universiti, tetapi juga kepada masyarakat dan negara Malaysia.
Dirgahayu negaraku Malaysia. – UTUSAN