HULU TERENGGANU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menangkap dua ekor beruang matahari di Kampung Kuala Por, dekat sini, malam tadi.
Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, dua ekor beruang tersebut memasuki perangkap yang dipasang Perhilitan sejak dua minggu lalu susulan aduan penduduk di kampung berkenaan.
“Beruang pertama berjaya ditangkap sekitar pukul 3 pagi dan merupakan seekor beruang matahari jantan.
“Lebih kurang dua jam selepas itu, seekor lagi beruang telah masuk perangkap. Jantina belum dapat dikenal pasti kerana perangkap digunakan jenis tertutup.
“Kedua-dua haiwan yang dianggarkan seberat 100 kilogram itu akan dilepaskan ke habitat yang sesuai di kawasan hutan simpan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah beliau, penduduk dinasihatkan tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan haiwan liar sebaliknya segera membuat aduan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.
Utusan Malaysia pada 31 Julai lalu melaporkan penduduk di Kampung Kemat di sini bimbang dengan kehadiran seekor beruang matahari di kampung tersebut sejak seminggu lalu.
Sementara itu, pada 26 Ogos lalu pula dilaporkan seorang remaja cedera selepas diserang seekor beruang matahari ketika mengutip durian di sebuah dusun di Kampung Lerek, di sini. – UTUSAN