Perbuatan DAP pernah dihalalkan oleh Pas dahulu

Tafsir ayat al-Quran: Perbuatan DAP pernah dihalalkan oleh Pas dahulu

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin UMNO telah mengingatkan seorang ahli Parlimen DAP supaya tidak mengulangi perbuatan memetik atau merujuk ayat-ayat suci al-Quran dalam memberi pandangan berkaitan politik.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peringatannya kepada Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How bertujuan bagi mengelakkan fitnah dan salah tafsir, sekali gus mencetus polemik tanpa henti.

“Saya sudah menghubungi YB (Yang Berhormat) Howard untuk tidak lagi mengulangi perbuatan memetik atau merujuk ayat-ayat al-Quran dalam memberi pandangannya dalam hal berkaitan politik.

“Ini untuk mengelakkan fitnah dan disalah tafsir sehingga mencetus polemik yang tidak berkesudahan. Walaupun perbuatan DAP ini pernah ‘dihalalkan’ oleh kepemimpinan Pas waktu bersama dahulu,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Baru-baru ini, Howard Lee yang juga bekas Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dalam video di aplikasi TikToknya, memetik sebahagian ayat 59 surah an-Nisaa’ yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

Dalam video itu, beliau juga mengkritik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan sejumlah pemimpin parti yang didakwanya membawa fahaman Khawarij yang mengkafirkan umat Islam lain.

Beliau kemudian memetik sebahagian daripada ayat 59 surah an-Nisaa’ tersebut dan mengaitkannya dengan usaha Pas dalam melawan kerajaan.

Katanya, pentadbiran sekarang adalah kerajaan yang sah kerana dipilih melalui pilihan raya, diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan diperakui dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ekoran itu, pertubuhan Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak membuat laporan polis terhadap Howard Lee supaya siasatan dan tindakan dikenakan terhadapnya kerana didakwa ‘menghina Islam’.

Sebelum ini, Dewan Pemuda Pas Perak turut menyifatkan beliau cuba  memprovokasi dengan menjadi pentafsir kepada al-Quran dan memutarbelit tafsir ayat 59 surah an-Nisa.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain mengesahkan kepada Utusan Malaysia bahawa Howard Lee akan diambil keterangannya sebaik pulang dari luar negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya