Perak tubuh jawatankuasa pantau keselamatan lereng bukit - Utusan Malaysia

Perak tubuh jawatankuasa pantau keselamatan lereng bukit

SAARANI Mohamad meninjau gerai jualan pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Perak akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memberi tumpuan soal keselamatan di kawasan berbukit di negeri itu, terutama bersebelahan lebuh raya dan di tempat bekerja.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco negeri semalam, susulan kematian seorang pekerja warga asing di Keramat Pulai, Simpang Pulai yang ditimpa runtuhan batu, kelmarin.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah itu dibuat kerana bimbang tragedi sama berulang terutama pada musim hujan.

“Kita tidak tahu apa yang ada di atas batu tersebut, termasuk lereng-lereng batu di lebuh raya dekat terowong. Kita hendak lihat balik apa sebenarnya yang ada di atas itu

“Baru-baru ini kita adakan pameran geospatial yang mana ada kelengkapan yang boleh mengesan pergerakan tanah. Kita tidak mahu kejadian sama berulang kepada rakyat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri Ke-8 dan melancarkan inisiatif Muallim Speed-Lane (M-S) di sini hari ini.

Pada kejadian Selasa lepas, seorang lelaki warga Pakistan maut ditimpa batu di tapak kuari sewaktu mangsa dan dua rakan sekerjanya sedang menjalankan kerja-kerja mengalihkan batu.

Saarani memberi ingatan kepada semua operator kuari supaya mengutamakan keselamatan pekerja kerana tiada guna jika pelbagai peraturan diperkenalkan namun gagal dipatuhi oleh mereka.

Beliau juga berkata, garis panduan pembangunan tanah juga akan diperkenalkan bagi membendung bencana alam terutama banjir.

Berkenaan program yang dihadiri beliau, menteri besar itu berkata, sejak siri pertama hingga Ke-7, sebanyak 989 aduan telah diterima dan daripada jumlah itu, 891 atau 90 peratus aduan telah berjaya diselesaikan.

Inisiatif M-S yang diperkenalkan oleh Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) pula, beliau berkata, usaha itu merupakan kaedah pengeluaran permit pembinaan secara pantas bagi membolehkan interaksi berkesan antara pelabur atau pemilik projek dan MDTM untuk memudahkan kerja-kerja pembinaan, sekaligus memastikan projek dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan.

Tambahnya projek pembinaan pantas itu adalah sebagai persediaan menjadikan daerah Muallim sebagai pemain sektor automotif global termasuk pembangunan Automotive Hi-Tech Valley di Proton City. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN