KAMPAR: Satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi meningkatkan rangkaian jalur lebar khususnya di lokasi yang menjadi tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, ia melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam bidang komunikasi dan pelancongan bagi memastikan perkara tersebut berjaya direalisasikan.
“Kita sedar ada beberapa kawasan yang tersenarai sebagai produk pelancongan sempena Tahun Melawat Perak 2024 namun liputan jalur lebarnya sangat lemah dan mungkin tidak mampu diakses.
“Jadi, satu jawatankuasa akan dibentuk bersama pihak Exco di bawah portfolio pelancongan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tourism Perak dan Digital Perak untuk meneliti perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan peralatan sukan kepada pelajar tingkatan 4, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar, Nurfarisha Karmila Shamsol Riduan, 16, di sini, semalam.
Nurfarisha yang merupakan tonggak skuad Bawah 17 tahun (B-17) Malaysia bakal mewakili kelab Feminine FC dari Perak pada Kejohanan Pearl Cup 2023 di Pulau Pinang bermula 15 hingga 17 September depan.
Mohd Azlan berkata, pihaknya juga akan meminta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Loh Sze Yee supaya menyenaraikan lokasi yang mengalami masalah capaian jalur lebar ini.
“Setelah saya dapat input, daripada situ kita kenal pasti jumlah peruntukan bajet yang kita perlukan. Maknanya kita akan ada perancangan dalam jangka masa pendek serta panjang,” katanya.
Sementara itu, Mohd Azlan berbangga dengan kejayaan Nurfarisha Karmila yang terpilih mewakili pasukan bola sepak B-17 negara.
“Pemilihannya ke kejohanan itu adalah lambang kejayaan masyarakat Malim Nawar,” katanya. – UTUSAN