SUNGAI SIPUT: Penganjuran Perak Agrofest 2023 merupakan kesinambungan usaha kerajaan negeri dalam memperkasa aspek sekuriti makanan yang menjadi salah satu daripada enam agenda utama dalam pelan Perak Sejahtera 2030.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, program dengan tema Lestari Agro Perak Makmur selama tiga hari itu adalah penjenamaan semula Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri, sebelum ini.
“Melalui program ini, satu platform strategik diwujudkan kepada peladang, penternak dan nelayan untuk mendapatkan maklumat serta pendedahan terkini dalam bidang pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani,” katanya berucap pada majlis perasmian program tersebut.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan merasmikan Perak Agrofest Lestari Agro Perak Makmur di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara itu, hari ini.
Menurut Saarani, kerajaan negeri sentiasa mengambil pedoman daripada titah-titah Sultan Nazrin sebelum inu yang mahu supaya aspek keterjaminan makanan sentiasa diberi perhatian yang sewajarnya.
Justeru, katanya, kerajaan negeri telah melipat gandakan usaha dan ikhtiar agar segala inisiatif bagi memperkukuh sekuriti makanan seperti digagaskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 dapat direalisasikan khususnya melalui kolaborasi agensi dan jabatan berkaitan sektor pertanian untuk menjana pengeluaran hasil makanan berskala besar.
Beliau menjelaskan, bagi sektor pertanian, Nisbah Sara Diri (SSR) negeri itu tahun lalu bagi 13 jenis tanaman terpilih adalah mencukupi serta memenuhi permintaan domestik dengan nilai SSR melebihi 100 peratus.
Beliau memaklumkan, ia membabitkan kelapa, jagung manis, belimbing, betik, jambu batu, pisang, bayam, bendi, kacang panjang, sawi, terung, timun dan ubi keledek.
Bagaimanapun, jelasnya, usaha berterusan dilakukan bagi 16 jenis tanaman yang tidak mencapai SSR iaitu beras, cempedak dan nangka, durian, mangga, manggis, rambutan, cili, salad, limau nipis dan limau kasturi, ubi kayu, tembikai, tomato, nanas, langsat, kobis bulat dan halia.
“Bagi sektor perikanan pula, Perak merupakan peneraju sektor perikanan di Malaysia dengan jumlah pengeluaran yang tertinggi untuk aktiviti akuakultur dan perikanan tangkapan sehingga mencatatkan Tahap Kadar Sara Diri (SSL) pada kadar 98.31 peratus dalam tempoh tersebut.
“Bagi sektor komoditi ternakan pula, komoditi unggas telah melebihi nilai SSR 100 peratus iaitu daging ayam dan itik serta telur ayam dan itik,” ujarnya.
Menurutnya, susu segar lembu adalah pada kadar SSL 94.4 peratus manakala kerjasama strategik agensi negeri dengan para pemegang taruh terus dipergiatkan untuk meningkatkan kadar SSR bagi pengeluaran daging lembu dan kerbau serta daging kambing dan bebiri.
Katanya, bagi memperkukuh jaminan sekuriti makanan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPPNP) sudah pun memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bagi menubuhkan Akademi Sekuriti Makanan.
Beliau menjelaskan, Akademi Sekuriti Makanan adalah salah satu penanda utama dalam pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang akan meneroka bidang sekuriti makanan yang masih baharu dan sentiasa memerlukan inovasi serta kreativiti selain mengembangkan penyelidikan saintifik.
“Semoga usaha memperkukuh sekuriti makanan secara berterusan yang sedang dilaksanakan dapat mengurangkan tekanan kos hidup dan memastikan ia terus menjadi agenda utama demi menjaga kebajikan rakyat serta memastikan daya tahan negara untuk mendepani pelbagai cabaran global di masa akan datang. Insya-Allah,” ujarnya. – UTUSAN