Perairan Pulau Tenggol diwarta taman negeri  - Utusan Malaysia

Perairan Pulau Tenggol diwarta taman negeri 

TENGKU Farok Hussin Tengku Abdul Jalil (tiga, kanan) menunjukkan papan tanda Taman Negeri Pulau Tenggol yang dipasang di Pulau Tenggol, Dungun, semalam. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Kawasan perairan Pulau Tenggol, dekat sini yang terkenal dengan pelbagai spesies terumbu karang akan diwartakan sebagai taman negeri bagi memelihara dan memulihara hidupan marin di kawasan itu. 

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, kajian sedang dilakukan bagi meluaskan kawasan pewartaan taman tersebut. 

“Kawasan daratan Pulau Tenggol ini telah diwartakan sebagai taman negeri pada Februari lalu sebagai usaha memulihara warisan semula jadi yang ada di pulau ini. 

“Kita nak wartakan pula kawasan perairan sebagai taman negeri bagi memelihara terumbu karang dan hidupan marin lain yang mana terdapat 19 lokasi terumbu karang yang sememangnya menjadi lokasi penyelam dari dalam dan luar negara,” katanya. 

Beliau berkata ketika ditemui pemberita selepas Program Tenggol Beach and Underwater Clean Up di Pulau Tenggol dekat sini, semalam.

Lebih 100 sukarelawan termasuk pihak berkuasa tempatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan beberapa badan bukan kerajaan menyertai program tersebut. 

Tengku Farok berkata, Pulau Tenggol yang berkeluasan sebanyak 232 hektar sememangnya terkenal sebagai lokasi ‘syurga untuk penyelam’ menikmati keindahan terumbu karang. 

Menurutnya, selain perairan Pulau Tenggol, kerajaan negeri juga akan turut mewartakan beberapa pulau lain termasuk Pulau Rhu di Besut dan Pulau Bidong, Kuala Nerus sebagai taman negeri. 

“Kesemua pulau yang akan diwartakan ini mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi flora dan fauna yang mana kita nak semua ini kekal terjaga.

“Bila pulau ini diwartakan, kita dapat memastikan kawasan perairan terjaga meskipun ada aktiviti penyelaman, kita dapat mendidik pelancong untuk lebih beretika supaya tidak merosakkan terumbu karang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya