ALOR SETAR: Golongan penjaja kecil dinasihatkan segera mendaftar perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menjelang pelaksanaan subsidi bersasar oleh kerajaan tidak lama lagi.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, langkah itu bagi membolehkan mereka menerima manfaat barangan bersubsidi seperti minyak masak paket apabila ianya dilaksanakan tahun depan.
Menurutnya, ketika ini kebanyakan pemain industri mikro itu termasuk peniaga keropok lekor, pisang goreng, ayam gunting dan seumpamanya ‘takut’ untuk mendaftar perniagaan mereka kerana bimbang perlu membayar cukai.
“Tidak perlu bimbang kerana mereka tidak semestinya perlu membayar cukai sekiranya pendapatan masing-masing tidak mencapai tahap tertentu yang memerlukan mereka berbuat demikian. Sebaliknya hanya perlu buat laporan tahunan saja.
“Hakikatnya pendaftaran perniagaan ini penting bagi memberi manfaat kepada mereka. Ianya akan memudahkan kami melengkapkan data mengenai isi rumah yang layak menerima barangan bersubsidi,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi walkabout Program Jualan Rahmah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit, di sini, hari ini.
Dianggarkan ketika ini terdapat kira-kira satu juta pemain industri mikro di seluruh negara dengan kebanyakan mereka masih belum berdaftar dengan SSM.
Mengulas lanjut Fuziah berkata, peniaga terlibat juga tidak perlu runsing untuk mendaftar perniagaan mereka kerana SSM turut membantu golongan B40 melengkapkan proses itu secara percuma.
“Apa yang kita perlukan adalah data yang lengkap bagi memastikan golongan benar-benar layak untuk menerima subsidi bersasar tersebut, sebab itu peniaga-peniaga ini perlu mendaftar agar mereka tidak tercicir daripada menerima manfaat.
“Setakat ini dianggarkan sebanyak 5.8 juta isi rumah layak menerima subsidi bersasar minyak masak paket. Justeru kita harap peniaga ini segera mendaftar agar turut menerima manfaat dan buanglah persepsi yang tindakan tersebut hanya akan sebabkan mereka terpaksa membayar cukai,” katanya. –UTUSAN