Pengilang santan disaran utamakan kelapa tempatan

Pengilang santan disaran utamakan kelapa tempatan

PEKEBUN menunjukkan kelapa yang tidak terjual sehingga banyak yang sudah bercambah di Bagan Datuk, Perak - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Kerajaan perlu mewujudkan satu garis panduan supaya pengilang santan membeli kelapa tempatan bagi mengelak berlakunya lambakan kelapa di sini kerana saingan kelapa import dari Indonesia yang lebih murah.

Seorang pengusaha kelapa, Datuk Hakim Hamidi berkata, isu lambakan kelapa di daerah ini berlaku antaranya disebabkan kilang santan di sini memilih membeli kelapa Indonesia.

“Sepatutnya kerajaan harus memberi garis panduan agar pihak pengilang mengutamakan atau membeli kelapa di Bagan Datuk iaitu hasil tempatan.

“Mereka mesti utamakan kelapa tempatan yang terjamin kualitinya. Kenapa utamakan kelapa import sedangkan kelapa tempat berkualiti. Jika pihak pengilang mengambil kelapa tempatan, ini akan menjamin pendapatan pekebun tempatan di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengenai pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengarahkan permit import atau AP kelapa dihentikan segera, Hakim berkata, tindakan itu wajar untuk menjamin harga kelapa tempatan lebih stabil.

Menurutnya, bekalan kelapa di Bagan Datuk lebih daripada mencukupi untuk menampung keperluan tempatan.

“Kenapa kita nak ambil kelapa luar sedangkan kelapa tempatan sudah ada, bekalannya lebih daripada mencukupi dan lebih berkualiti daripada yang diimport,” katanya.

Hakim juga menyarankan kerajaan memperbanyakkan kilang untuk industri hiliran kelapa seperti penghasilan santan, kerisik dan sebagainya.

Katanya, jika kelapa dinaik taraf sebagai perusahaan hiliran, ini secara tidak langsung akan menaikkan harga buah tersebut.

“Industri hiliran ini boleh dilaksanakan melalui koperasi yang terdapat di Bagan Datuk dan kerjasama ini boleh diwujudkan menerusi situasi menang-menang.

“Matlamatnya ialah memastikan harga kelapa terus stabil bagi supaya industri tanaman kelapa dapat terus bertahan,” katanya.

Menurutnya, jika harga kelapa terus mengalami masalah, dibimbangi ramai pekebun kelapa yang menukar tanaman itu kepada kelapa sawit. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya