PETALING JAYA: Pelakon, Fasha Sandha terkejut apabila pengikut di Instagramnya bertambah 25,000 biarpun menerima kecaman hebat lantaran video berendam bermesraan dengan suami, Aidil Aziz tular.
Fasha berkata, dia tidak menyangkan penambahan pengikut tersebut kerana segelintir warganet bersuara untuk berhenti mengikutinya di Instagram selepas ‘kecewa’ dengan hantaran vidoe tersebut.
“Sebenarnya, selepas video itu tular, pengikut saya bukan sebkurang sebaliknya bertambah. Semalam saya periksa, naik 25,000.
“Terkejut juga sebab ada yang cakap mahu berhenti ikuti saya di media sosial tetapi tidak pun. Makin bertambah adalah.
“Saya tengok yang follow itu lebih ramai daripada unfollow. Jadi saya lebih menghargai mereka yang mengikuti saya itu,” ujarnya.
Pelakon Khilaf Asmara itu berkata demikian ketika ditemui majlis pelancaran produk Beunita keluaran Inayah Beauty hari ini.
Dalam pada itu, Fasha berkata, dia terbuka menerima sebarang kritikan atau kecaman orang ramai yang mungkin kurang senang dengan video tersebut.
“Bagi saya, itu perkara biasa dilakukan saya dan suami. Cuma mungkin, lokasinya tak bersesuaian. Kalau di taman bunga, mungkin berbeza pandangan dan pendapat.
“Perkara ini subjektif dan pandangan setiap orang itu berbeza. Ada yang pilih positif dan ada juga yang pilih sebaliknya. Saya tak boleh kawal apa orang cakap,” katanya.
Dalam pada itu, Fasha berkata dia tidak memadam video tersebut sebaliknya hanya menyimpan atau archive sebelum mengeluarkan versi penuh hari ini.
“Sebelum archive, saya perasan video tersebut sudah mendapat sejuta tontonan dan beribu orang telah simpan atau save video,” ujarnya.