Penganjur, peserta Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia berdepan tindakan - Utusan Malaysia

Penganjur, peserta Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia berdepan tindakan

AYOB Khan Mydin Pitchay memeriksa perbarisan pada perasmian Hari Ulang Tahun PGU ke-44 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis akan mengambil tindakan terhadap penganjur dan peserta Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia yang akan diadakan di depan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang makluman berhubung himpunan itu seperti yang termaktub di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Saya tidak pasti (penganjur) sudah buat permohonan atau tidak, tetapi hari ini adalah hari terakhir untuk mereka buat permohonan iaitu lima hari sebelum tarikh perhimpunan itu berlangsung.

“(Jika tiada permohonan), kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian Hari Ulang Tahun Pasukan Gerakan Udara (PGU) ke-44 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd. Manan; Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim; Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Mohd. Hishamudin Tahar dan Komander PGU, Datuk Noor Sham Md. Jani.

Mengulas lanjut Ayob Khan berkata, sebarang perhimpunan yang ingin dianjurkan mana-mana pihak perlulah mematuhi setiap peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan.

Menurut beliau, selain memaklumkan kepada pihak polis lima hari sebelum majlis berlangsung, penganjur juga perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik premis dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Dalam konteks ini, saya difahamkan perhimpunan itu akan diadakan di kawasan Sogo, jadi mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Sogo dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Selain itu, mestilah tiada bantahan daripada masyarakat sekitar seperti pemilik-pemilik kedai atau Sogo sendiri yang akan buat bantahan dalam tempoh 48 jam. Itu syarat yang perlu dipenuhi oleh mana-pihak yang ingin membuat perhimpunan.

“Saya harap mereka buat ikut prosedur, kalau tidak, tindakan akan diambil,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Pemuda Perikatan Nasional (PN) bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bakal mengadakan Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia di hadapan Kompleks Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman di ibu negara.

Perhimpunan pada Hari Malaysia itu bertujuan membuka mata rakyat berkenaan isu semasa termasuk kes pelepasan pertuduhan 47 kes rasuah dan pengubahan wang haram Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya