BUKIT MERTAJAM: Penduduk di Kampung Kebun Sireh dekat sini, tidak melepaskan peluang menyerbu lori Jualan Rahmah Bergerak sempena program Jelajah Jualan Rahmah anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah bagi mendapatkan bekalan makanan asas.
Seorang penduduk, Mohd. Zahari Noh, 58, berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan bekalan beras tempatan berikutan bekalan makanan asas tersebut kini sukar didapati di pasaran.
“Antara barang yang saya nak dapatkan ialah beras dan minyak. Kedua-dua barang ni memang susah nak dapat di mana-mana kedai, kalau ada pun mahal.
“Jadi, program Jelajah Jualan Rahmah ini adalah inisiatif yang tepat dan perlu diadakan dengan lebih kerap sebab bekalan seperti ini memang kena sentiasa ada,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, seorang peniaga kedai makan Jamilah A. Wahab, 55, berkata, beras, minyak serta bekalan bahan mentah yang lain tidak seharusnya terputus bekalan, justeru menyarankan program seumpama itu kerap diadakan di kampung-kampung yang majoritinya penduduknya kalangan B40.
“Kena kerap ada jualan bergerak seperti ini. Kalau boleh wujudkan beberapa tapak khemah yang menawarkan lebih banyak barangan keperluan asas.
“Ini bagi memastikan penduduk setempat dapat memperoleh bekalan makanan asas dengan harga yang lebih murah sesuai dengan pendapatan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah Gooi Hsiao Leung yang turun padang melawat program berkenaan berkata, pihaknya sering menerima permintaan dalam kalangan penduduk setempat untuk mewujudkan program seumpama itu dengan lebih kerap.
“Sambutan program ini sememangnya memang popular dalam kalangan penduduk setempat lebih-lebih lagi kawasan perkampungan.
“Jadi, minggu hadapan kita akan adakan satu lagi program Jelajah Jualan Rahmah di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah iaitu pada 29 September ini.
“Pada masa sama, kita harap dapat membantu lebih ramai penduduk setempat untuk mendapatkan bekalan keperluan asas dengan harga lebih berpatutan selain ingin meringankan bebanan kos sara hidup yang ditanggung mereka,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan aduan orang ramai mengenai kesukaran mendapatkan beras tempatan di pasaran sehingga memaksa mereka membeli beras import yang dijual pada harga lebih mahal. – UTUSAN