Penduduk rayu bina simpang elak sesak, kemalangan - Utusan Malaysia

Penduduk rayu bina simpang elak sesak, kemalangan

Simpang sesak
HARRISON Hassan bersama penduduk Puncak Alam meninjau laluan yang menghubungkan Meru dengan Ijok itu dekat Puncak Alam di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Lebih 1,000 penduduk Taman Alam Sutera, Puncak Alam di sini, merayu pihak berwajib membina simpang empat berserta lampu isyarat di kawasan itu bagi mengelak kesesakan teruk sejak setahun lalu.

Kemudahan infrastruktur itu amat penting berikutan kekerapan kemalangan sama ada kenderaan atau motosikal berlaku di sana.

Wakil penduduk, Syed Rahimin Shah Syed Ahmad Shah, 37, berkata, kawasan itu mempunyai persimpangan sebelum ini namun ditutup berikutan kerja pembinaan projek perumahan.

“Kini, simpang itu ditutup setahun sekali gus menyulitkan penduduk terutama yang mahu menghala ke Meru atau laluan Persiaran Mokhtar Dahari.

“Penduduk terpaksa membuat pusingan U sejauh satu kilometer dan lebih teruk pada waktu puncak kerana trafik sesak sehingga memakan masa lebih 20 minit,” katanya ketika meninjau lokasi itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan hari ini.

Bagi penduduk, Zulfadzli Ahmad, 42, pula, dia tidak membantah sebarang pembangunan di kawasan berdekatan namun perlu mengambil kira kemudahan penduduk setempat.

Jelasnya, masalah itu bukan saja menyukarkan penduduk menjalankan urusan seharian malah menerima rungutan ibu bapa dan pemandu van sekolah.

“Ramai ibu bapa mengeluh apabila van yang menjadi pengangkutan utama anak ke sekolah tidak mahu memasuki taman perumahan. Setakat ini hanya ada satu van sekolah yang masih mengambil dan menghantar pelajar ke sekolah berdekatan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berwajib mempertimbangkan cadangan penduduk supaya persimpangan itu dibuka semula dengan penambahan ciri keselamatan lain termasuk lampu isyarat.

Sementara itu, Harrison Hassan memaklumkan, beliau akan mengajukan permasalahan berkenaan kepada pihak pemaju perumahan dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bagi perbincangan lanjut.

“Saya mendapati memang tidak logik persimpangan itu tiada sedangkan ramai penduduk menggunakan laluan berkenaan. Justeru, isu itu perlu diselesaikan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya