KEMAMAN: Penduduk di Felda Neram II, dekat sini, bimbang apabila beberapa ekor gajah liar menceroboh tanaman mereka dan berkeliaran berhampiran kawasan penempatan penduduk.
Salah seorang penduduk, Shahrul Anuar Osman, 33, berkata, dia terkejut apabila melihat kelibat haiwan liar itu berkeliaran di belakang kediamannya kira-kira 30 meter pada Jumaat lalu, kira-kira pukul 3.30 pagi.
“Masa kejadian, saya terjaga daripada tidur apabila terdengar bunyi bising di belakang rumah. Apabila buka pintu, memang terkejut tengok ada kelibat beberapa ekor gajah sedang makan pokok-pokok.
“Tak sangka gajah berkeliaran belakang rumah sebab biasanya gajah liar ini hanya berkeliaran kawasan ladang sawit kampung kami. Tak pernah lagi gajah ‘bermain’ kawasan kampung,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Dayang Yahya, 66, gajah liar tersebut turut merosakkan beberapa pokok kelapa dan ubi kayu di kebun belakang kediamannya.
“Saya hanya sedar tanaman dimusnahkan gajah apabila diberitahu anak lelaki saya yang melihat belakang rumah kami bersepah dengan daun pokok kelapa dan banyak pokok yang ditumbangkan gajah.
“Bila berlaku kejadian sebegini, saya dan keluarga memang bimbang keselamatan kami sebab tak pernah berlaku kejadian sebegini. Kami harap pihak berkuasa akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Loo Kean Seong berkata, pihaknya sedang melakukan pemantauan dan tindakan menghalau gajah berkenaan akan diambil demi keselamatan penduduk. – UTUSAN