Pendakwaan mohon prosiding bicara Ahmad Zahid dihentikan

Ahmad Zahid bebas?

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi agar perbicaraan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi, diberhentikan.

Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar Timbalan Perdana Menteri dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi semua 47 pertuduhan.

Antara alasan itu termasuk pihak pendakwaan perlu mengkaji keterangan saksi-saksi pada perbicaraan itu serta bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap bukti baharu yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid.

Alasan lain menyentuh isu yang dibangkitkan dalam representasi bahawa pendakwaan dibuat secara cuai dan terburu-buru serta beliau menjadi mangsa pendakwaan terpilih kerajaan terdahulu.

Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon Presiden UMNO itu dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menangguhkan prosiding seketika bagi keputusan permohonan tersebut.

Pada 10 April lalu, mahkamah diberitahu, Ahmad Zahid mengemukakan representasi kepada AGC setebal 200 muka surat mengandungi fakta dan bukti baharu dalam usaha menggugurkan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Surat representasi pertama telah dikemukakan pada Januari manakala yang terbaharu mengandungi fakta dan bukti baharu diserahkan kepada AGC pada Februari lalu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pukul 8.58 pagi bersama-sama beberapa ahli keluarga dan disambut oleh penyokong-penyokongnya yang membanjiri pekarangan mahkamah.

Presiden UMNO itu dihadapkan ke mahkamah pada 2018 manakala perbicaraan bermula pada 2019 dengan mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan.

Ahmad Zahid, 70, didakwa atas 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang mana beliau adalah pengasasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN