Pemuda PN ada hak dan kebebasan berhimpun -Hassan Abdul

Pemuda PN ada hak dan kebebasan berhimpun -Hassan Abdul Karim 

HASSAN Abdul Karim (kanan) menyantuni peniaga-peniaga di Pasar Borneo Johor sempena Sambutan Hari Malaysia, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Semua pihak termasuk kerajaan perlu menghormati hak Pemuda Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan program Himpunan Selamatkan Malaysia kerana perkara itu dibenarkan menerusi Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.  

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, orang ramai tidak perlu berasa bimbang sekiranya peserta himpunan itu mematuhi undang-undang dan tidak melampaui batas.

Menurut beliau, himpunan tersebut hanyalah bertujuan untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan.

“Penganjur sudah maklumkan program itu kepada polis yang menjadi pemudah cara bagi memastikan perhimpunan aman itu berjalan dengan baik.

“Cuma, peserta diminta tidak melanggar peraturan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 antaranya adalah tidak berhimpun di stesen minyak atau stesen kereta api sebaliknya di kawasan yang tidak mengganggu ketenteraman awam yang dibolehkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Malaysia anjuran Persatuan Peniaga dan Usahawan Kecil dan Sederhana Daerah Johor Bahru di Pasar Borneo Johor, di sini hari ini.

Semalam, Pemuda PN bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya tidak akan berganjak dengan keputusan mengadakan Himpunan Selamatkan Malaysia di ibu negara.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berkata, ketetapan tersebut dibuat setelah mengambil kira aspek pihak polis menerima notis pemakluman berhubungan penganjuran perhimpunan tersebut.

Sementara itu, Hassan yang juga merupakan bekas Pengerusi PKR Johor turut memberitahu, perhimpunan tersebut wajar dibenarkan, namun, tindakan tegas perlu diambil sekiranya ia bertujuan menimbus sebarang kekacauan dalam kalangan masyarakat.

“Penganjur perlu bertanggungjawab dalam memastikan apa-apa perkara yang berlaku sentiasa terkawal dan ketenteraman awam terus terpelihara.

“Kita faham kerana saya dan ramai pemimpin dalam kerajaan sekarang pernah terlibat dalam perhimpunan, antaranya Perhimpunan Bersih. Jadi, kita juga perlu bersangka baik dengan pembangkang sekarang, mereka juga warganegara yang mempunyai hak dan kebebasan.

“Saya pernah menjadi peguam yang membela peserta Perhimpunan Bersih ini dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru sampai Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur. Mereka pada akhirnya dilepaskan mahkamah kerana tidak berbuat sebarang kesalahan, hanya menyertai perhimpunan,” jelasnya lanjut. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya