Pemuda maut dalam perjalanan sertai Himpunan RXZ Members - Utusan Malaysia

Pemuda maut dalam perjalanan sertai Himpunan RXZ Members

KEADAAN motosikal RXZ yang ditunggangi Muhammad Luqman Misnan setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 255.8 LPT2 selepas Plaza Tol Jabor, Kemaman, hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Hasrat seorang pemuda menyertai program Himpunan RXZ Members 5.0 di Kuala Terengganu berakhir tragedi setelah maut dalam kemalangan di Kilometer 255.8 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), selepas Plaza Tol Jabor, di sini, pagi tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, mangsa, Muhammad Luqman Misnan, 30, yang berasal dari Telok Panglima Garang, Selangor, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran cedera parah di bahagian kepala. 

Kemalangan maut itu turut melibatkan dua lagi penunggang Yamaha RXZ yang juga dalam perjalanan menyertai program himpunan RXZ  tersebut. 

Bagaimanapun, dua lagi penunggang Yamaha RXZ, iaitu Aswade Ahmad, 36, dari Triang, Pahang, mengalami patah tangan kiri dan kaki kanan, manakala Harry Aizam Hanafiah, 35, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan patah tangan kiri. 

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, kesemua mangsa sedang dalam perjalanan ke Gong Badak, Kuala Terengganu. 

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang Muhammad Luqman tiba-tiba hilang kawalan dan telah melanggar dua lagi penunggang lain yang berhenti di bahu kiri jalan. 

“Impak pelanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa terseret sejauh 37.5 meter dan mangsa meninggal di lokasi kejadian,” katanya. 

Hanyan berkata, dua penunggang yang tercedera dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang untuk menerima rawatan manakala mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya