Panjat pagar, mulakan kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah -hakim

Pemuda bertanggungjawab panjat pagar, mulakan kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah -hakim

PEMUDA berusia 22 tahun (kiri sekali) diiringi peguamnya tiba di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi rayuan kes berkaitan kematian 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah. UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini berpendirian, seorang pemuda berusia 22 tahun merupakan individu yang dilihat memanjat pagar di belakang Darul Quran Ittifaqiyah dan bertanggungjawab memulakan kebakaran yang mengorbankan 23 penghuninya, enam tahun lalu.

Pemuda tersebut yang kini ditahan di penjara selama tempoh perkenan Yang di-Pertuan Agong, turut mengetahui perbuatannya boleh menyebabkan bencana tubuh kepada 23 mangsa dalam kejadian menyayat hati itu.

Mahkamah Rayuan turut berpendapat, punca kebakaran adalah disengajakan hasil siasatan forensik Jabatan Bomba ekoran kewujudan bahan petrol dan dua tong gas dihalakan ke pintu bilik asrama dalam bangunan tahfiz itu yang mempercepatkan kebakaran.

Oleh yang demikian, panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Datuk Abu Bakar Jais (kini hakim Mahkamah Persekutuan) sebulat suara berpuas hati tiada sebab untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabit dan menghukum pemuda itu.

Dengan keputusan tersebut, pemuda itu yang dinamakan sebagai pesalah kanak-kanak pertama (PKK1) kekal ditahan di penjara selama tempoh perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas panel itu menolak rayuannya.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun bagaimanapun mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan seorang lagi pemuda juga berusia 22 tahun daripada kesemua 23 pertuduhan membunuh.

Dalam kejadian enam tahun lalu, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang marak dijilat api.

Kedua-duanya yang ketika kejadian berusia 16 tahun, didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini di antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Hakim Che Ruzima yang membacakan keputusan itu berkata, mahkamah berpuas hati bahawa keterangan pihak pendakwaan begitu kuat bahawa PKK1 merupakan pihak yang bertanggungjawab memanjat pagar di belakang tahfiz untuk memulakan kebakaran.

Mahkamah berpuas hati, hakim Mahkamah Tinggi membuat pertimbangan yang sangat teliti terhadap keterangan saksi pendakwaan ke-68 dan saksi pendakwaan ke-69 bahawa PKK1 yang memanjat pagar sebelum kebakaran berlaku.

Panel itu berpendapat, rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTCV) di bangunan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di belakang tahfiz itu menunjukkan PKK1 membawa botol yang dikatakan berisi petrol.

Hakim Che Ruzima selanjutnya berkata, mahkamah menolak pembelaan PKK1 selepas berpuas hati pembelaannya adalah penafian kosong semata-mata, saksi-saksi yang dikemukakannya merupakan saksi berkepentingan selain gagal membuktikan pembelaan alibi.

“Tiada sebab bagi panel ini untuk mengusik dapatan hakim Mahkamah Tinggi yang menganalisis keterangan sokongan, rakaman CCTV dan lawatan di tempat kejadian.

`Kami bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa keterangan ikut keadaan yang dikemukakan pihak pendakwaan begitu kuat dan hanya menuding kepada satu arah iaitu PKK1 memanjat pagar belakang sekolah tahfiz itu bersama-sama seorang lagi yang tidak dapat dikenali untuk memulakan kebakaran,” ujarnya.

Pada hemat panel itu, pihak pendakwaan berjaya membuktikan keempat-empat elemen bagi mensabitkan pemuda itu terhadap kesemua pertuduhan.

Hakim Che Mohd. Ruzima selanjutnya berkata, keterangan saksi-saksi pendakwaan serta rakaman CCTV menunjukkan PKK1 sememangnya berada di tempat kejadian walaupun tiada saksi mata (eye witness) melihat pemuda itu mengangkat tong gas dan mencucuh petrol dengan pemetik api.

Panel itu turut bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang menerima keterangan saksi pendakwaan berhubung penemuan pemetik api yang membuktikan kelakuan pemuda tersebut.

“PKK1 ketika disoal siasat memandu arah polis ke rumahnya dan tunjukkan pemetik api itu. Mahkamah bersetuju perbuatan PKK1 memilih pemetik api tersebut daripada beberapa pemetik api di bilik tidurnya menunjukkan dia tahu pemetik api mana digunakan untuk memulakan kebakaran,” ujar hakim itu.

Sementara itu, ketika menyampaikan keputusan terhadap PKK2, panel itu berpuas hati bahawa tiada keterangan yang boleh menyokong bahawa pemuda itu turut memanjat pagar bersama-sama PKK1.

Mahkamah berpendapat, SP68 dan SP69 gagal membuat pengecaman ke atas individu yang dikatakan memanjat pagar bersama-sama PKK1.

“Walaupun tidak dinafikan bahawa PKK2 ada bersama-sama PKK1 sebelum kejadian, hakikatnya masih ada dua orang lagi iaitu SP70 dan SD3 bersama-sama mereka,” ujar hakim itu.

Sehubungan itu, panel tersebut menolak rayuan pihak pendakwaan selepas berpendirian, tiada alasan untuk mngubah keputusan hakim Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan PKK2 pada 28 Januari 2020 tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan itu.

Pada 11 Mei lalu, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling berhujah, mustahil kejadian kebakaran di Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat di ibu negara hanya dilakukan oleh seorang individu berdasarkan penemuan dua tong gas di tingkat atas asrama pusat tahfiz itu.

Hujah beliau, tong gas tersebut masing-masing seberat 14 kilogram tidak mungkin mampu diangkat secara berseorangan dari tingkat bawah melalui tangga.

Sementara itu, peguam Haijan Omar yang mewakili kedua-dua pemuda tersebut berhujah, tiada pengecaman positif berkaitan anak-anak guamnya yang boleh dikaitkan dengan kejadian tersebut.

Pada 17 Ogos 2020, Hakim Datuk Azman Abdullah (kini hakim Mahkamah Rayuan) mendapati penama pertama bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama tempoh perkenan Yang di-Pertuan Agong kerana perayu yang ketika itu berusia 16 tahun merupakan pesalah kanak-kanak.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun, namun, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN