Pakaian cecah RM5,000 demi sertai Keretapi Sarong 2023

Pempengaruh TikTok, Otam Blurr labur RM5,000 untuk pakaian Iban demi Keretapi Sarong 2023

Pempengaruh TikTok, Mohd Rustam Johari atau Otam Blurr mengenakan pakaian lelaki Iban pada program Keretapi Sarong di Dataran Merdeka, hari ini.-UTUSAN/NURUL IRDINA SUMALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program Keretapi Sarong 2023 yang dianjurkan di Dataran Merdeka hari ini mendapat sambutan menggalakkan apabila terdapat peserta sanggup berhabis ribuan ringgit untuk menyediakan busana tradisional bagi mewakili etnik-etnik di Malaysia.

Seorang peserta, Mohd Rustam Johari, 36, yang juga pempengaruh TikTok dengan nama Otam Blurr, sanggup berbelanja hampir RM5,000 untuk memiliki busana kaum iban lelaki.

Bekas penari tradisional dari Melaka ini memberitahu, aksesori yang paling mahal adalah setapok tunjang dengan bulu burung kenyalang yang berharga RM1,800.

“Saya beli set lengkap ini dari Sarawak, saya juga bernasib baik diberikan harga promosi sebab ‘ngajat’ di depan mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Keretapi Sarong 2023 yang diadakan bersempena Hari Malaysia disertai lebih 10,000 orang dari seluruh negara yang mengenakan busana tradisional atau mengenakan kain sarung kemudiannya menaiki pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan KTM Komuter dari pelbagai tempat.

Asmaq Mohd Yunus mengenakan pakaian Minangkabau pada program Keretapi Sarong di KL Sentral, hari ini.

Mereka kemudiannya berkumpul di hentian masing-masing termasuk di KL Sentral sebelum beramai-ramai ke Dataran Merdeka.

Pelbagai acara dijalankan di Dataran Merdeka terutamanya aktiviti menyanyi dan menari beramai-ramai lagu-lagu rakyat dan lagu irama Malaysia.

Turut dijalankan aktiviti permainan tradisional seperti kasut terompah, dam Aji, congkak dan lain-lain.

Seorang lagi peserta dari Bukit Jalil, Asmaq Mohd Yunus turut tampil dengan pakaian Minangkabau hasil daripada jahitan tangannya sendiri.

“Saya jahit sendiri dari baju sehingga ke aksesori dalam masa empat hari sebab tahu berkenaan program ini saat akhir,” katanya.

Katanya, busana itu diinspirasikan daripada bumbung Minangkabau diterap di bahagian bahu dan kepala bagi menyerlahkan lagi sisi kebudayaan Minangkabau itu sendiri. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya