SHAH ALAM: Kerajaan negeri bersedia membantu dari segi penyelarasan tindakan terhadap penguatkuasaan dan pembersihan kawasan tanah daripada aktiviti pelupusan sampah haram.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemilik bertanggungjawab ke atas tanah masing-masing meskipun mereka mendakwa berlaku pencerobohan sehingga menyebabkan wujud aktiviti pelupusan sampah haram.
“Tetapi masih lagi tanggungjawab tuan tanah. Kecuali dia serahkan tanah kepada kerajaan negeri, kita boleh uruskan, tetapi ia tidak akan berlaku sebab itu (tanah) hak mereka,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Namun beliau tidak menolak dakwaan kawasan diceroboh sebagai helah mengelak dikenakan tindakan pihak berkuasa akibat aktiviti haram itu.
“Tuan tanah kena pastikan tanah itu diceroboh, bukan (tanggungjawab) kerajaan negeri atau pihak berkuasa. Sebab itu dia kena uruskan tanah. Memang lapor polis bagus, tetapi sebagai tuan tanah dia tak boleh lari daripada tanggungjawab untuk menguruskan tanah.
“Kadang-kadang itu (pencerobohan) menjadi alasan, kadang-kadang mereka terlibat, mungkin awal-awal dia terlibat tetapi bila sudah tidak terkawal, dia kata orang lain ceroboh, kita kena buat siasatan,” katanya.
Katanya, terdapat kawasan dikhaskan pembuangan sisa industri, binaan dan domestik iaitu di Jeram, Kuala Selangor dan Tanjung 12, Kuala Langat.
“Ada antaranya di Sungai Kertas di bawah Worldwide memang untuk sisa binaan, kita pun sudah tambah satu lagi tapak di Sungai Pusu untuk sisa industri. Di Jeram memang untuk sisa domestik,” katanya. – UTUSAN