Pemilik syarikat keliru zakat perniagaan - Utusan Malaysia

Pemilik syarikat keliru zakat perniagaan

SHAIKH HARUN SHAIKH ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mendedahkan masih banyak pemilik syarikat perniagaan yang keliru atau mendapat maklumat kurang tepat mengenai zakat perniagaan yang perlu mereka lunaskan.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, situasi itu menyebabkan ada syarikat yang tidak membayar zakat perniagaan mereka.

Menurutnya, kaedah pengiraan zakat perniagaan adalah berbeza dengan cukai yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Ada syarikat yang mendakwa mereka tidak membayar zakat perniagaan kerana operasi syarikat tidak menguntungkan, malah syarikat menanggung kerugian.

“Sehubungan itu, Maidam kini terus memperkasakan sesi penerangan kepada syarikat-syarikat perniagaan yang beroperasi di Terengganu untuk memastikan mereka faham mengenai zakat perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sesi libat urus pemerkasaan pengoperasian Maidam dan pelancaran kempen Potongan Zakat Berjadual di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang lain, Shaikh Harun berkata, Maidam menyasarkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM60 juta di Terengganu pada tahun ini.

Beliau berkata, Maidam yakin dapat mencapai sasaran itu berbanding sebanyak RM52 juta yang direkodkan sepanjang tahun lalu.

“Setakat Ogos tahun ini pula, kita berjaya kutip sebanyak RM30 juta dan Insya-Allah lebih banyak syarikat akan membayar zakat perniagaan pada bulan-bulan terakhir tahun ini untuk memastikan sasaran RM60 juta tercapai,” katanya.

Ditanya mengenai kempen potongan zakat berjadual yang dilancarkan hari ini pula, Shaikh Harun berkata, ia adalah antara kaedah yang diperkenalkan Maidam untuk memudahkan bayaran zakat dalam kalangan umat Islam yang layak di negeri ini.

“Kita harap kempen ini dapat memastikan lebih ramai asnaf dibantu dan seterusnya menurunkan kadar kemiskinan di Terengganu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya