Pembeli pulang hampa, beras putih tempatan habis - Utusan Malaysia

Pembeli pulang hampa, beras putih tempatan habis

SEORANG kakitangan Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Bakar Arang Kedah di sisi pemakluman tiada jualan beras putih tempatan kerana kehabisan stok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Orang ramai yang mengunjungi Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Bakar Arang pagi semalam, pulang hampa berikutan tiada jualan beras putih tempatan (BPT) se­perti dijanjikan.

Difahamkan keadaan itu berlaku kerana FAMA telah kehabisan stok makanan ruji itu sebaik sahaja pelaksanaan Intervensi Pengedaran BPT dimulakan di pusat operasi itu.

Seorang pembeli yang datang dari Tikam Batu, Mohamad Jarjis Halim, 49, berkata, dia terkilan kerana terpaksa berhabis masa dan menempuh perjalanan jauh semata-mata untuk mendapatkan beras di outlet FAMA di sini.

“Saya keluar dari rumah pada pukul 8 pagi dengan harapan dapat membeli beras pada harga biasa yang ditawarkan pihak FAMA.

“Namun hampa apabila sampai di sini dimaklumkan oleh kakitangan FAMA yang bertugas bahawa tiada jualan beras kerana kehabisan stok,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Hamidah Sidek, 51, dari Taman Seri Astana dekat sini berkata, dia kesal kerana sepatutnya pemakluman awal perlu dibuat FAMA di dalam media sosial berkaitan ketiadaan proses jual beli beras putih di sini.

“Kalau masa pelancarannya boleh diuar-uarkan di media sosial sebelum ini kenapa pemba­talan jualan itu semalam tidak dibuat bagi mengelak kesulitan khususnya kepada pembeli yang datang dari jauh.

“Saya dan kawan-kawan yang datang terpaksa pulang hampa selepas hanya melihat makluman di pintu masuk pusat itu mengatakan tiada jualan beras putih kerana kehabisan stok,” katanya.

Seorang penduduk daripada Flat Paya Nahu, Mohamad Halim Hanafiah, 48, berkata, dia menunggang motosikal sambil meredah hujan kerana ingin mendapatkan beras yang dijual di outlet FAMA di sini.

Tetapi sebaik sahaja tiba di pintu masuk, katanya, dia difahamkan oleh kakitangan bertugas bahawa tiada jualan beras seperti mana yang dijadualkan kerana kehabisan stok.

“Sepatutnya FAMA lebih prihatin menangani masalah ini sejak awal bagi mengelak pembeli yang datang dari jauh dan pulang dengan tangan kosong,” katanya.

Sementara itu, kakitangan yang bertugas memberitahu, stok bekalan beras putih yang diterima mereka tidak banyak dan telah habis sejak hari pertama jualan itu diadakan kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya