KEMAMAN : Gara-gara kehabisan duit gaji dan tidak mampu memberikan isterinya duit belanja, seorang pembantu kedai hardware sanggup membuat laporan palsu kononnya dia disamun dua lelaki bersenjata.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 29 tahun yang berasal dari Pekan, Pahang dan tinggal di Jalan Air Putih itu datang ke Balai Polis Pasir Gajah, di sini, petang semalam untuk membuat laporan polis.
“Lelaki tersebut mendakwa telah disamun dua lelaki yang menunggang motosikal Yamaha Y150ZR yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya, di Jalan Ibok-Paman.
“Dia turut mendakwa diacukan sebilah pisau di leher dan dua lelaki tersebut tidak dapat dikenali kerana memakai jaket, topi keledar penutup penuh,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Hanyan berkata, lelaki tersebut memberitahu dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan turut mendakwa kerugian wang ringgit sebanyak RM1,500, dompet, rantai serta loket emas bernilai RM700.
“Bagaimanapun, ketika soal siasat dilakukan, kita dapati lelaki ini berada dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil siasatan awal, lelaki itu mengaku mengalami masalah kewangan dan duit gajinya telah habis dibelanjakan serta tidak mampu memberikan isterinya duit untuk perbelanjaan.
“Rantai emas yang didakwa dilarikan suspek samun juga masih belum ditebus dan masih berada di kedai emas,” katanya.
Hanyan berkata, lelaki tersebut boleh disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau sabit kesalahan denda sehingga RM2,000. – UTUSAN