Pembangkang dakwa Johari mungkir janji 

Dewan Rakyat: Pembangkang dakwa Johari mungkir janji 

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangkang mendakwa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak mengotakan janjinya yang sebelum itu mahu ‘memberi ruang’ untuk berbincang mengenai usul tergempar Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. 

Ia berhubung gesaan supaya Peguam Negara menjelaskan alasan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan ke atasnya. 

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau meletakkan jangkaan yang tinggi setelah Johari memberi harapan kepada kesemua ahli Parlimen pembangkang. 

Bagaimanapun, ia tidak seperti yang digambarkan apabila mesyuarat Dewan Rakyat terus berakhir selepas Anwar selesai membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), malah, tiada ruang langsung untuk meneruskan rancangan sebelumnya (usul berkenaan Ahmad Zahid). 

“Yang Dipertua mungkir janji. Kami tidak sangka di dewan mulia ini dengan seluruh rakyat Malaysia menonton bahawa kami akan diberi peluang untuk membentangkan usul selepas pembentangan Perdana Menteri, namun, tiba-tiba kami tidak dibenarkan.

“Kami juga tidak diberitahu sama ada esok boleh bawa usul ini atau tidak. Tetapi yang paling penting, rakyat Malaysia boleh melihat selepas sahaja pembentangan ini, kerajaan sekali lagi berbohong secara terbuka kepada rakyat, janji mahu bagi bahas, tiba-tiba tidak boleh bahas,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini. 

Menerusi surat bertandatangan daripada Johari kepada Wan Ahmad Fayhsal bertarikh 11 September 2023 yang dilihat Utusan Malaysia, Johari menyatakan usul tersebut didapati tidak terjumlah di bawah urusan mesyuarat khas yang ditetapkan.

Jelas surat itu, mesyuarat hari ini diadakan menurut Peraturan Mesyuarat 11(3) yang memperuntukkan urusan semasa mesyuarat khas hendaklah ditentukan oleh Perdana Menteri, yang hanya merujuk kepada KSP RMK12. 

“Di bawah Peraturan Mesyuarat 11(3), saya tidak dapat membenarkan usul Yang Berhormat dibawa ke Majlis Mesyuarat. Justeru, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 18(7)(c), saya menolak usul Yang Berhormat dalam kamar,” kata surat itu. 

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal dalam sidang media sama kecewa dengan tindakan Johari dan mendakwa Johari mendapat arahan baharu oleh sesetengah pihak.

“Apa yang mahu ditakut dan disorokkan? Apa yang kebal sangat untuk kita bahas perkara ini? Ini melibatkan kepentingan orang ramai dan keadilan di negara kita. Kami sudah ikut peraturan (tunggu sehingga Anwar habis bentang), tetapi, malangnya Yang Dipertua mungkir janji,” katanya.

Awal pagi tadi, Johari menolak usul tergempar dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal bagaimanapun tidak memberitahu alasan-alasan menolak usul tersebut daripada dibahas dalam mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini. 

Pun begitu, Johari memberitahu akan memberi ruang kepada beliau bercakap mengenai hal tersebut selepas Anwar selesai berucap mengenai KSP RMK-12. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN