Pemandu van didenda RM9,500 ganggu sensitiviti agama

Pemandu van didenda RM9,500 ganggu sensitiviti agama

S.Velan dibawa anggota polis selepas berdepan tiga pertuduhan termasuk dua berkaitan mengganggu sensitiviti agama di Mahkamah Sesyen Kulim. -UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM9,500 kepada seorang pemandu van selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengganggu sensitiviti agama, minggu lepas.

Tertuduh, S. Velan, 43, dari Teluk Air Tawar, Butterworth membuat pengakuan bersalah apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mirza Mohamad yang mengetuai prosiding.

Bapa kepada dua anak itu yang tampil dengan pakaian lokap berwarna jingga mengaku bersalah atas pertuduhan pertama mengganggu sensitiviti agama dengan membaling cat ke perkarangan Masjid Jamek Taman Kucai di Lunas, pada 3.26 pagi, 19 September lalu.

Velan juga mengaku bersalah atas pertuduhan mengganggu sensitiviti agama dengan membaling colok sembahyang di hadapan pagar masjid yang sama, kira-kira pukul 2 pagi, 24 September.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Hakim Mirza kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 bagi pertuduhan pertama dan RM4,500 bagi pertuduhan kedua.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Pavitra sementara tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Fieza Fazlin Fandi.

Sementara itu, tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Bahaya 1952 kerana mengambil dadah merbahaya jenis methamphetamine. Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, pada pukul 6.20 pagi, 24 September lalu.

Bagi kesalahan itu, Hakim Mirza menetapkan sebutan semula kes pada 24 Januari tahun hadapan sementara menunggu laporan makmal patologi dan tertuduh dikenakan jaminan RM1,500.

Kelmarin, akhbar melaporkan polis menahan seorang lelaki dipercayai melakukan perbuatan khianat dengan mengunci pintu pagar dan mencampakkan satu tong cat putih di Masjid Jamek Taman Kucai.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, kejadian pukul 3.26 pagi tersebut telah dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) masjid dan susulan itu pengerusi masjid telah membuat laporan polis kira-kira pukul 10.30 pagi, pada hari sama. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya