Pemandu lori terbabit kemalangan ragut nyawa tiga beranak direman  - Utusan Malaysia

Pemandu lori terbabit kemalangan ragut nyawa tiga beranak direman 

PEMANDU lori terlibat kemalangan maut di Kilometer 154, Jalan Jerangau-Jabor dekat persimpangan Cheneh-Mak Lagam dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan nyawa tiga daripada lima ahli keluarga di Kilometer 154, Jalan Jerangau-Jabor dekat persimpangan Cheneh-Mak Lagam, di sini, direman selama empat hari bermula hari ini.

Perintah reman tersebut dikeluarkan Hakim Wan Suhaila Mohd. di Mahkamah Sesyen Kemaman bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Lelaki berusia 44 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan diiringi polis. 

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, hasil pemeriksaan ujian air kencing terhadap pemandu lori Dumper Tipper jenis Nissan yang berasal dari Simpang Ampat, Perlis itu didapati negatif dadah dan bebas sebarang rekod jenayah lampau. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, seorang bapa dan dua anak lelakinya termasuk bayi berusia setahun maut selepas kenderaan Naza Citra yang dinaiki lima sekeluarga itu dirempuh lori yang keluar simpang secara mengejut ekoran dipercayai mempunyai masalah brek. 

Mangsa, Ammir Hussein Mohamad, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua anak lelakinya, Ammzar Husszair Al Hussein,4, dan Ammzar Hussnayan Al Hussein,1, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman. 

Isteri mangsa, Norhafizah Sazwa Harun, 38, yang memandu kenderaan tersebut dan sedang hamil, cedera di bahagian perut telah dibenarkan keluar dari hospital sama. 

Anak angkat mereka, Ammzar Hussniah Ammir Hussein Abdul Azim, 8, masih tidak sedarkan diri dan dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya