BESUT: Seorang pemancing ditemukan mati lemas selepas bot gentian kaca yang dinaiki bersama seorang rakan terbalik ketika memancing di Sungai Kampung Tok Gong di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, mayat Husin Jusoh, 46, dijumpai kira-kira pukul 7.45 pagi tadi selepas lebih 24 jam mangsa disyaki lemas.
Menurut beliau, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjumpai mayat mangsa yang beralamat di Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh, Kelantan itu pada jarak 250 meter dari lokasi mangsa tenggelam.
Abdul Rozak menjelaskan, rakan mangsa yang berusia 35 tahun pula terselamat apabila berjaya berenang ke tepi sungai dalam kejadian sekitar pukul 2.45 pagi, semalam.
“Mayat mangsa ditemui oleh pasukan SAR lebih kurang pukul 7.45 pagi tadi dan telah dibawa ke Hospital Besut untuk proses pengecaman oleh ahli keluarga dan urusan bedah siasat.
“Pihak polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut (SDR) dan operasi ditamatkan pukul 9 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Paizol Abdul Wahab, berkata, seramai 27 anggota termasuk pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat dalam operasi itu.
Menurut beliau, empat anggota pasukan penyelamat di air (PPDA) dari BBP Jertih turut membantu operasi SAR yang digerakkan sejak semalam bagi mengesan mangsa.
“Pada hari pertama, kerja-kerja mencari dan menyelamat dilakukan di permukaan air menggunakan tiga buah bot sehingga tujuh kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas namun mangsa gagal ditemui.
“Memasuki hari kedua hari ini, mayat mangsa berjaya dijumpai pada jarak 250 meter mangsa disyaki hilang dan disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya. – UTUSAN