Pelbagai jabatan, agensi kementerian terlibat hasilkan Beras Ganu

Pelbagai jabatan, agensi kementerian terlibat hasilkan Beras Ganu – Pejabat Menteri

SEBAHAGIAN Beras Ganu yang dikeluarkan TADC untuk memenuhi pasaran beras di Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelbagai jabatan atau agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terlibat dalam Program ‘Beras Ganu myGAP’. 

Pejabat Menteri kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka yang terlibat antaranya Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA), Kawalselia Padi dan Beras (KPB) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). 

“KPKM ingin memberikan pencerahan berhubung ‘Beras Ganu myGAP’. Untuk makluman, program persijilan myGAP merupakan program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui DOA di seluruh negara. Perkataan MAFI pada bungkusan tersebut merujuk kepada KPKM. 

“(Selain itu) para pesawah yang terlibat (pula) hanya memperoleh insentif upah mesin padi RM8 per guni atau 85 kilogram (kg) pada 2021 dan RM9 per guni (85 kg) pada 2023 sumbangan kerajaan negeri. 

“Ini adalah sebagai tambahan kepada bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan bagi insentif tanaman padi melalui pemberian subsidi input seperti benih padi sah, baja, racun, bajak, kapur dan subsidi output Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) berjumlah hampir RM1.63 bilion setahun di seluruh negara termasuk di Terengganu,” katanya hari ini. 

Menurut kenyataan itu, myGAP bermaksud Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia dan ia adalah skim pensijilan yang dirangka dan dilaksanakan sejak 2002 untuk mengiktiraf ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik. 

Kata kenyataan itu, ia bagi mengeluarkan makanan yang selamat dan berkualiti, menjaga keselamatan alam sekitar serta menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja. 

Jelas kenyataan itu, objektif program myGAP adalah untuk meningkatkan bilangan petani supaya mengamalkan amalan pertanian baik dan diberi pengiktirafan supaya menghasilkan pengeluaran ladang yang selamat dan berkualiti di samping memelihara alam sekitar serta menjaga keselamatan dan kebajikan pekerja.

“Sehingga kini, keluasan tanaman padi di Terengganu yang mendapat pensijilan myGAP berjumlah 908.70 hektar dari keluasan 12,000 hektar,” katanya. 

Tambah Pejabat Menteri itu, dari segi penghasilan beras Ganu myGAP pada 2021, sebanyak 450 metrik tan berjaya dihasilkan dan ia hanya merupakan enam peratus dari bekalan beras di pasaran Terengganu. 

“Untuk rekod, tahap sara diri (SSL) bagi beras di Terengganu pada 2022 adalah 56 peratus ekoran bencana banjir luar jangka yang berlaku dan bukannya 78 peratus seperti yang dilaporkan oleh sesetengah pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya