IPOH: Kemasukan pelaburan berbilion ringgit ke Perak dengan potensi ribuan peluang pekerjaan, berupaya mengekalkan anak muda negeri ini daripada berhijrah.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini termasuklah pelaburan mencecah RM40 bilion oleh syarikat kereta Proton di Tanjung Malim yang boleh mencipta rantaian ekonomi di selatan negeri.
Katanya, pelaburan sebesar itu akan membuka banyak kilang yang berkaitan dan seterusnya mencipta peluang pekerjaan.
“Kalau dulu ada anak muda Perak yang berhijrah melintasi sempadan Tanjung Malim kerana hendak mencari kerja di luar Perak. Sekarang sedang disediakan pekerjaan. Tidak perlu menyeberang sempadan,” katanya semasa berucap dalam Karnival Mesra Anak Muda (Kamu) di Stadium Perak hari ini.
Dilaporkan sebelum ini penyelidik menggariskan antara cabaran yang dihadapi Perak termasuklah penghijrahan keluar penduduk yang tinggi atas alasan kerjaya.
Beliau memberi contoh apabila, Proton mahu memindahkan operasi dari Shah Alam, Selangor ke Tanjung Malim, langkah itu membuatkan vendor sedia ada atau baharu akan muncul di selatan Perak, lebih-lebih lagi membabitkan teknologi tinggi.
Mengulas tentang Tahun Melawat Perak 2024, menteri besar itu berkata, perbincangan juga diadakan dengan beberapa operator penerbangan untuk menambahkan bilangan penerbangan ke negeri tersebut.
Malah usaha itu termasuklah penerbangan terus ke Ipoh, tanpa perlu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Berkenaan penganjuran Kamu, Saarani memuji usaha tersebut lebih-lebih lagi dalam mempromosikan peluang pekerjaan yang ada di Perak selain peserta program terutama peniaga kecil mencipta pendapatan.
Katanya, sepanjang tiga hari program bermula Jumaat lalu, dijangkakan kehadiran ialah seramai kira-kira 300,000 orang serta jumlah jualan boleh mencecah RM3 juta. – UTUSAN