PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan sudah ada pelabur luar negara dan tempatan yang mula ‘mengintai’ untuk melabur di empat negeri ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) atau ‘State-Goverment 4 (SG4).
Dr. Mahathir yang juga penasihat tidak rasmi SG4 berkata, beliau mengesahkan sudah menerima cadangan pelaburan itu, namun pelaksanaannya belum lagi berjalan.
“Cadangan pelaburan sudah ada. Tinggal lagi pelaksanaan belum berjalan lagi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri siri ketiga Minggu Negarawan di sini, hari ini.
Ditanya negara mana yang ingin melabur itu, Dr. Mahathir berkata, ia termasuk pelabur dari China dan pelabur tempatan.
“Ramai (pelabur) dan antaranya dari China, malah dalam negara pun ada. Tak boleh beritahu lagi (bidang pelaburan),” katanya yang enggan mendedahkan bidang pelaburan berkenaan.
Ditanya apa lagi usaha beliau sebagai penasihat ekonomi untuk menaikkan ekonomi di SG4, Dr. Mahathir bagaimanapun enggan mendedahkan perkara itu.
“Tunggulah. Baru lagi (saya baharu dilantik),” katanya yang turut mengesahkan sudah mengadakan pertemuan dengan empat Menteri Besar SG4 minggu lalu.
Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis dalam proses membentuk ‘kumpulan empat negeri’ dengan Dr Mahathir dilantik sebagai penasihat tidak rasmi.
Malah, Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Datuk Zuraida Kamaruddin menyifatkan pelantikan Dr. Mahathir itu dilihat tepat dan perlu diraikan bukannya dikecam oleh seteru politik.
Jelasnya, rasional pelantikan itu adalah untuk meletakkan beliau (Dr. Mahathir) bagi menghubungkan empat negeri itu dengan pelabur seperti negara Jepun dan Korea Selatan yang beliau mempunyai hubungan yang amat baik. – UTUSAN